Jangan Ganti Perangai UMNO

Islam dan Muslimin
Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melontarkan satu ide tentang bagaimana Barat lebih dilihat Islamik dari sudut tatacara kelola kewangan negara, ketelusan dan integriti sebuah kerajaan dan hak asasi manusia. Saya teringat akan kata-kata ulamak Islam Syeikh Muhamad Abduh (1849-1905) ketika dia melawat Eropah dia mengkagumi kemajuan dan ketamadunan Eropah (Barat) yang nilainya sama dengan Islam. Dia berkata, "I went to the West and saw Islam, I got back to the East and saw Muslims but not Islam". Saya yakin Mat Sabu tidak berkata tanpa satu pengamatan dari susur galur kebangkitan Eropah dan zaman malap tamadun Islam. Apa yang malang dari kenyataan Mat Sabu ialah keadaan tidak berubah sejak ia diucapkan oleh Syeikh Muhammad Abduh kurun yang lampau.
Tunjuk contoh dulu
Saya memahami bahawa apa yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS itu didasari oleh kebimbangan melihat masa depan PAS dan Pakatan Rakyat secara umum jikalau diberi amanah untuk memerintah. Ini adalah kerana tidak ada gunanya kita melaungkan reformasi atau islah jika kita gagal membuat perubahan dan membongkah akar umbi kebusukan yang akan ditinggalkan oleh regim lama BN. Kalau kita mengulangi kebusukan BN maka reformasi kita hanya kosmetik dan hanya tukar baju tapi dalam penuh dengan panau dan kurap. Saya berpendapat bahawa kenyataan Mat Sabu mewakili ramai dari rakyat yang mahukan perubahan yang tulen dan bukan palsu.
Jalan sukar
Berkenaan dengan Arab Spring Revolution yang menumbangkan kebusukan regim diktator dunia Arab, saya berpendapat perubahan regim yang berlaku akan mengalami jalan yang sukar dan berliku. Ini adalah kerana buat sekian lama dunia Arab bukan sahaja berada di bawah pemerintahan kuku besi tetapi kedudukan sosial dan strata masyarakat serta keadaan ekonomi membentuk satu cabaran yang besar kepada order baru seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Syria.
Pengajaran

Mat Sabu saja yang tahu
Adapun kenyataan Mat Sabu yang mengatakan golongan kiri dan liberal Barat lebih dilihat bersungguh mengamalkan integriti, ia adalah satu cabaran besar kepada parti Islam yang seharusnya mengungguli prinsip integriti berdasarkan prinsip moral yang dilaungkan. Apakah benar kebimbangan Mat Sabu itu, adakah benar dakwaan beberapa EXCO Kelantan tidak mencerminkan kehidupan sederhana yang dilaungkan oleh PAS?
Saya tidak mempunyai jawapan, hanya Mat Sabu yang tahu apakah maksud yang tersirat daripada kenyataannya. Namun mengenali Mat Sabu, beliau adalah orang yang setia kepada parti dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila memberi pandangan. Saya juga berpendapat Mat Sabu berada sebagai orang nombor dua parti Islam untuk menjalankan tugas mengocak air yang tenang supaya parti jangan berada di zon selesa.
No comments:
Post a Comment