Sunday, December 11, 2011

Penuhi syarat untuk menang PRU 13

KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS ternyata sudah berkemampuan mencapai kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang jika setiap ahlinya dapat memenuhi syarat-syarat untuk menang seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Keupayaan PAS untuk menang dalam PRU Ke-13 bukan sahaja boleh diukur dari keahliannya yang semakin meningkat setiap hari, tetapi juga sokongan baik yang diterimanya dari pelbagai lapisan masyarakat sekarang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan sebuah hadis, Nabi saw menjelaskan bahawa ketika kita berjalan seelok-eloknya bersama 4 orang sahabat, untuk berperang memerlukan 400 anggota tentera.

Menurutnya, di dalam hadis itu juga, Nabi saw menjelaskan untuk kemantapan ketenteraan, umat Islam memerlukan 4,000 anggota dan jika mempunyai 12,000 anggota tentera, umat Islam sudah boleh mencapai kemenangan.

Katanya, keanggotaan yang juga jentera PAS kini sudah jauh melangkaui jumlah 12,000 orang seperti yang digambarkan oleh Nabi saw, sehingga jelas memberikan isyarat kemenangan kepada parti jika disusuli dengan langkah-langkah yang betul seperti yang digariskan dalam Islam.

"Syarat-syarat untuk mencapai kemenangan, setiap jentera PAS mestilah mempunyai kekuatan dari segi kerohanian dengan keimanan," katanya ketika berucap pada majlis penutup Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, langkah-langkah pentarbiayahan ke atas ahli-ahli mestilah disusun supaya setiap ahli dan jentera parti faham dengan manhaj perjuangan PAS.

Katanya, untuk mendapatkan kekuatan dari segi kerohanian, setiap ahli PAS mestilah menjauhi maksiat serta ikhlas beribadat kepada Allah secara berterusan.

"Jangan sekali-kali kita hanya kuat berkempen sehingga jauh malam sehingga lupa solat Subuh disebabkan mengantuk kerana tindakan seperti itu pasti gagal membantu kita dalam memperkuatkan kerohanian dan membantu PAS untuk menang," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebaliknya untuk memperkuatkan kerohanian, ahli-ahli PAS bukan sekadar wajib menitikberatkan solat lima waktu, tetapi juga memperbanyakkan solat-solat sunat dengan mendirikan solat tahajud.

Selain itu, katanya, ahli-ahli PAS mestilah walad atau taat kepada pemimpin, sejajar dengan potensi pemimpin-pemimpin PAS itu sendiri yang sememangnya sudah terlebih dahulu memperlengkapkan diri masing-masing dengan syarat-syarat tersebut.

"Dengan itu, barulah jihad boleh diteruskan oleh ahli-ahli PAS bersama pemimpin bagi membolehkan PAS menempa kejayaan seperti yang diharapkan," tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin PAS agar jangan sekali-kali angkuh dengan kedudukannya sebagai pemimpin kerana dalam Islam, pemimpin juga boleh ditegur dan mesti menerima teguran-teguran baik dan membina daripada orang bawahannya.

"Ukhwah antara ahli-ahli dan pemimpin mestilah sentiasa dijaga supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, manakala ukhwah itu pula mestilah terjalin atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

"Dengan itu barulah lahir kekuatan kerohanian dan ukhwah pada setiap ahli, pemimpin-pemimpin dan PAS bagi membolehkan kita bergerak bersama di medan jihad menerusi pilihanraya yang menjadi pilihan PAS di negara ini," tegas beliau.

No comments: