Wednesday, December 05, 2012

Kelantan sasar rumah mampu milik semua jajahan


GUA MUSANG: Kerajaan negeri tetap berusaha bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri, biar pun disisih daripada mendapat peruntukan membina rumah awam kos rendah sejak 1990.

(Datuk Ahmad Yakob berucap di Gua Musang)

Antara usaha dilakukan termasuk membina rumah mampu milik bagi membantu rakyat mendiami kediaman sendiri yang lebih selesa.

Rumah mampu milik pertama dilaksanakan di Labok Machang lebih setahun lalu. Projek berkenaan sekarang diperluaskan ke jajahan lain.

Usaha tersebut kini turut dibantu anak syarikat kerajaan negeri, Tunjong Development Corporation Sdn Bhd (TDC) bagi membina rumah jenis berkenaan di Kelantan.

TDC melaksanakan projek usahasama dengan ML Synergy Sdn Bhd. Syarikat berkenaan diterajui anak Kelantan yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembinaan. TDC pula syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, projek terbabit akan dibangunkan di kawasan seluas 62 ekar di Mukim Pulai, Daerah Galas.

Katanya, rumah mampu milik yang akan dibina meliputi 30 peratus daripada keseluruhan projek tersebut.

“Sebanyak 123 unit rumah mampu milik bakal dibina daripada 410 unit bangunan di kawasan berkenaan.

“Walaupun kurang menarik berbanding projek-projek lain dari segi keuntungan, namun konsep cross subsidy di antara pembangunan komersial dan bercampur ia berupaya menampung kerugian yang ditanggung.

“Rumah mampu milik harga jualan dihadkan sehingga RM100,000 seunit. Harganya lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

No comments: