KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr
Hatta Ramli menjangkakan sembilan negeri akan jatuh kepada Pakatan
Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Katanya,
keadaan inilah antara faktor yang menghalang Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk membubarkan parlimen, yang kini sedang
ditunggu-tunggu oleh rakyat.
Malah Hatta percaya, rakyat negara
ini memang tidak sabar hendak mengundi kerana mereka akan membuat
perubahan yang besar dalam PRU itu nanti.
"Saya yakin penantian
rakyat untuk menunggu tarikh pembubaran parlimen satu penyiksaan buat
mereka, penyiksaan yang tidak tertanggung.
"Sebab itulah,
apabila mereka mendapat berita pembubaran semalam, terus menarik nafas
lega kerana ia memang ditunggu-tunggu mereka. Masing-masing menyatakan
kekecewaan bila dapat tahu ianya tidak jadi," katanya kepada
Harakahdaily.
Katanya, dalam hal ini kerajaan tidak boleh hendak salahkan rakyat Malaysia kerana pengumuman yang ditunggu begitu lama.
Bagaimanapun
Hatta menyeru rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat agar meneruskan
persediaan jentera pilihan raya sementara menanti tarikh rasmi dengan
persiapan yang sepatutnya.
"Jangan terlalu kecewa dengan waktu dan tarikh pembubaran sehingga menjejaskan gerak kerja kita," katanya.
Apabila
diminta tarikh yang akan dipilih Najib Tun Razak, Hatta menjangkakan
pembubaran parlimen akan berlaku pada hujung bulan sama ada 28 hingga 30
Mac ini.
Terkini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) akan menjalankan sisatan berhubung penyebaran maklumat atau
berita palsu menerusi internet dan SMS ekoran maklumat palsu mengenai
pembubaran Parlimen yang tersebar di beberapa laman sosial semalam.
Berita
palsu yang memetik kononnya kenyataan itu dikeluarkan oleh perdana
menteri, tersebar di laman-laman sosial kira-kira 12.30 tengah hari,
selepas perdana menteri dilihat keluar daripada Istana Negara pagi
semalam.
Ekoran berita palsu itu, Pejabat Perdana Menteri
menafikan khabar angin kononnya Dewan Rakyat dibubarkan bagi membolehkan
pilihan raya umum ke-13 diadakan.
No comments:
Post a Comment