Sunday, March 17, 2013

PAS pastikan hak cipta artis tempatan terpelihara



KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan hak cipta artis tempatan terpelihara dan dihormati oleh rakyat negara ini apabila Pakatan Rakyat diberi mandat menerajui Putrajaya pada pilihan raya kali ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, hanya melalui pendidikan sebagai platform yang paling berkesan untuk memberi perubahan kepada rakyat negara ini supaya menghormati hak cipta artis tempatan.

Katanya, hak cipta tidak kira sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan atau penerbitan buku sekali pun, ianya perlu dihormati kerana ia menjaga masa depan artis tempatan.

"Di negara ini, satu perkara yang tidak dihormati oleh rakyat negara ini iaitu hak cipta. Misalnya Datuk Shahnon Ahmad yang menulis novel 'Shit" telah dicetak rompak ratusan ribu, sampai sekarang Shahnon tidak dapat apa-apa.

"Begitu juga dalam bidang nyayian, setengah besar rakyat tidak suka mengekalkan yang asli tetapi cari yang tidak 'original', ini sangat berleluasa," katanya dalam sidang media di program Malam Seni Untuk Perubahan yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, malam ini.

Tambahnya, apabila hak cipta artis ini terpelihara sekali gus ia membantu kehidupan dan masa depan artis tersebut.

"Saya ambil contoh, biduanita Saloma yang terlantar sakit di hospital, sehingga tidak mampu untuk membayar bil hospital. Anak beranak P. Ramlee juga hidup melarat," katanya.

Mohamad turut melahirkan rasa terharu atas sokongan khasnya para artis yang secara berani menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan besar ke atas nasib mereka.

"Saya berkeyakinan penuh, mereka (artis) perlu dihargai dan mereka memerlukan perubahan melalui PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Pada malam ini juga Mohamad Sabu turut melancarkan 'Sukarelawan PRU13' di mana PAS akan mensasarkan seramai mungkin penyertaan orang ramai untuk menjadi sukarelawan bagi memastikan pilihan raya berlaku adil dan saksama.

Beliau juga akan melancarkan buku 'Prima Facie' yang ditulis oleh peguam Hanipa Maidin berdasarkan pengalamannya dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah termasuklah kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. (Gambar atas)

Turut bersama dalam sidang media itu, Dr Muhaimin Sulam, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan artis Ito serta Hairie Othman.

No comments: