KUALA LUMPUR: Isu pemilikan tanah di Johor boleh
diselesaikan jika rakyat negeri itu membuat perubahan politik pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Presiden
PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno telah
memerintah negeri itu sudah lebih 50 tahun, namun sehingga kini masalah
tanah rakyat masih gagal diselesaikan.
PAS pula katanya mempunyai
pengalaman dalam urusan pemberian hak milik tanah, ketika memerintah
Terengganu pada tahun 1999 sehingga 2004.
Beliau yang ketika itu
menjadi Menteri Besar Terengganu berkata, kerajaan negeri dibawah
pentadbiran PAS telah berusaha memberi hak milik kepada peneroka yang
selama ini dinafikan hak oleh kerajaan negeri dibawah pentadbiran Umno
BN.
Antara kejayaan lain juga, kerajaan negeri ketika itu juga
telah berjaya mengurangkan karenah birokrasi dalam proses permohonan dan
kelulusan tanah.
"Sudah 50 tahun lebih Umno BN memerintah, namun
masalah tanah rakyat di negeri Johor masih lagi tidak dapat
diselesaikan. Pakatan Rakyat menawarkan kepada rakyat negeri Johor untuk
menyelesaikan masalah-masalah ini.
"Saya menyeru seluruh rakyat negeri Johor membuat perubahan untuk bersama Pakatan Rakyat pada PRU-13 nanti," ujar beliau.
Beliau
berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan rakyat Johor di
Himpunan Tanah Rakyat Negeri Johor dan kenduri rakyat di Taman Pulai
Utama Skudai semalam.
Turut hadir pada majlis itu, Pesuruhjaya
PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Penasihat DAP Lim Kit Siang,
Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, Naib Pengerusi PKR Johor Hassan
Abd Karim serta seluruh kepimpinan pakatan rakyat peringkat negeri yang
lain.
Majlis tersebut semalam antara program yang dirancang sempena lawatan rasmi presiden PAS itu selama dua hari di negeri itu.
Terdahulu
sebelum itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman dalam
ucapannya turut menawarkan komitmen menyelesaikan masalah tanah jika
rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.
Katanya,
penyelesaian hak pemilikan tanah tersebut juga adalah salah satu
jaminan dalam tawaran Negara Berkebajikan PAS serta dalam manifesto
Pakatan Rakyat.
“Johor negeri kritikal berdepan isu tanah. Isu
hak milik contohnya (hingga mencecah) 40 tahun tapi gagal (ditangani
kerajaan negeri) kerana karenah birokrasi,” katanya.
Beberapa wakil NGO berkaitan tanah juga turut meluahkan permaslahan rakyat yang diadukan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment