KUALA LUMPUR: Dalam Ulamak PAS Pusat menyifatkan gesaan
Menteri Besar Terengganu agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu (Maidam) mengambil tindakan terhadap imam yang menjadi
penceramah kepada parti pembangkang sebagai tidak wajar.
Setiausahanya,
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu hanya
menunjukkan kedangkalan pemikiran pemimpin Umno khususnya Datuk Seri
Ahmad Said yang memisahkan antara agama dan politik.
"Kalaulah ini menjadi matlamatnya, maka jelas bahawa kurangnya kefahaman yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin negeri.
"Alangkah
baiknya jikalau seorang yang bergelar Menteri Besar menyatakan tindakan
akan diambil terhadap imam jika ucapannya menyalahi hukum syarak dan
tidak membetuli hukum hakam Islam," katanya kepada Harakahdaily.
Ahmad Said hari ini dilaporkan mengarahkan Maidam mengambil tindakan terhadap imam yang berceramah mewakili pembangkang.
Katanya,
perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana imam terbabit bertugas
dengan kerajaan, dibayar gaji oelh kerajaan dan sepatutnya mengikut
dasar kerajaan negeri.
Mengulas lanjut Khairuddin berkata, apa
yang peliknya, setiap kali imam-imam dihimpunkan oleh kerajaan, tanpa
segan silu boleh pula Umno BN menyuapkan dakyah kepartian kepada
imam-imam tersebut.
"Jangan jadikan imam dan pendakwah yang bersifat “Amfusana Amfusuni” sehingga hilangnya “Haibah” seorang ulama," katanya.
Menurut
beliau lagi, sejarah Islam pernah menukilkan bagaimana al-Hasan
al-Basri seorang penasihat yang berani menyatakan kebenaran berdepan
pemimpin yang zalim.
Sejarah Terengganu pula menunjukkan
keberanian Tok Ku Paloh berdepan dengan penjajah Inggeris, Tuan Guru
Haji Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi.
Perjuagan Islam
katanya ibarat air bah yang besar, jika disekat dengan benteng yang
kukuh sekalipun, sudah pasti ia merempuhnya dan memecahkan benteng
tersebut bagi meneruskan perjalanan aliran air itu mengikut ketentuan
Ilahi.
"Sepatutnya pemimpin perlu menegakkan kebenaran bukan
hanya mengisi tembolok dan perut mereka untuk menyelamatkan kerusi yang
mereka pegang semata-mata sehingga sanggup mengadaikan agama.
"Sementelahan
lagi dengan hampirnya PRU13, jelas nampak betapa gelabahnya pemimpin
Umno untuk mempertahankan saki baki kuasa yang akan hilang," tegasnya
No comments:
Post a Comment