Monday, March 18, 2013

Penyanyi rock terharu serah borang PAS


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan FTG (Freedom That Gone), Tajul terharu apabila dapat menyerahkan sendiri borang permohonan keahlian PAS kepada Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Isni Akbar mengisytihar menyertai PAS pada program ‘Malam Seni Untuk Perubahan’ di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi sebelum menyerahkan borang kepada Mohamad di hadapan kira-kira 5,000 hadirin.

Tajul, 46, turut mengakui beliau sudah lama mengikuti gerakan Reformasi dan mempunyai ramai kawan di kalangan ahli PAS dan PKR.

Malah katanya, beliau sering hadir ke program melibatkan parti politik namun belum bersedia untuk 'menonjolkan diri' ketika itu.

"Gerakan reformasi ini tidak asing bagi saya. Dari dulu lagi saya dan beberapa kawan yang lain memang menyokong perjuangan rakyat.

"Saya pun ramai kawan di kalangan orang PAS, PKR dan mereka selalu ajak saya pergi ke program-program mereka.

"Sekarang ni dengan umur macam ini, saya rasa sudah sampai masanya saya ke hadapan dalam perjuangan. Saya pun tak sangka dapat serahkan borang kepada Abang Mat malam tadi," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berkata, beliau akan meneruskan aktiviti nyanyian dan penulisan lirik dan tidak akan menolak jika diundang membuat persembahan di program melibatkan Pakatan Rakyat.

"Kalau mereka jemput saya, tak ada aral saya akan datang. Saya tahu apa yang saya buat ini betul, saya tahu mana yang baik, mana yang buruk.

"Yang baik kita sokong, yang buruk kita tentanglah. Sampai bila kita nak tengok rakyat ditindas.

"Pada saya, semuanya bergantung pada hati dan niat kita," jelasnya sambil menambah beliau selalu membeli akhbar Harakah dan Suara Keadilan untuk mengetahui isu semasa.

Beliau juga menyeru rakan-rakan artis agar berani menyatakan pendirian kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah.

"Rezeki itu dari Allah. Kepada kawan-kawan, saya mohon tolak ke tepi sifat takut ke depan untuk berjuang," katanya yang berasal dari Ipoh.

Tambah beliau juga, beliau akan pulang mengundi di Ipoh walaupun menetap di Kajang.

FTG merupakan kumpulan Thrash Metal yang ditubuhkan pada tahun 1989.

FTG bergerak secara underground dan pernah melakukan ratusan konsert di seluruh negara dan popular dengan lagu ‘Malaysia Maju’.

No comments: