Thursday, March 21, 2013

Keluarga Diraja pimpin rakyat serah memorandum


(Ribuan rakyat Terengganu yang turun menyerahkan memo kepada Ahmad Said)

KUALA TERENGGANU: Hari ini dalam sejarah, apabila keluarga sendiri turun padang memimpin ribuan rakyat untuk menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said.

Himpunan aman dan serahan memorandum tersebut dipimpin oleh Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


(Tengku Paduka menyerahkan memo kepada wakil MB)

Kata Tengku Seri Paduka, kerajaan Terengganu yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Said gagal mempertahankan hak rakyat dan wajar disingkirkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, rakyat perlu tahu kenapa saman kerajaan terhadap pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan ditarik-balik secara ‘senyap’ tanpa perbincangan dan persetujuan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

“Royalti ini hak kita, hak rakyat dan hak negeri Terengganu yang ‘dirampas’ semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu, dan kerajaan PAS saman pihak Petronas dan kerajaan pusat.

“Hari ini, tiba-tiba kerajaan ‘Mat’ (Ahmad) Said tarik balik secara senyap-senyap, dia buat keputusan sendiri dan ini satu kesilapan besar yang dia (MB) buat…kita (rakyat) kena tukar (kerajaan) pada pilihan raya (PRU13) tidak lama lagi,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Tengku Seri Paduka diiringi oleh Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah, Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Presiden Gabungan Anak Terengganu (Gate), Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi dan Timbalan DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran dan Encik Jefri Chua.

Memorandum berkenaan mewakili 45 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang diselaraskan oleh Sekretariat Royalti Terengganu atau ‘R’ turut membuat desakan terhadap empat perkara kepada kerajaan negeri Terengganu.

(Doa dibaca untuk mengadu kepada Allah tentang kezaliman yang dibuat)

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah menegaskan Sekretariat ‘R’ mendesak empat perkara bagi memastikan kerajaan negeri Terengganu kekal mendapat hak royalti serta memelihara maruah dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman.

“Pertama, kerajaan negeri Terengganu perlu memfailkan kembali saman untuk menuntut royalti Petroleum dan ‘R’ komitmen akan bersama dengan Menteri Besar (Ahmad Said) dalam memperjuangkan hak royalti tanpa berbelah bagi.

“Kedua, tidak menerima sebarang istilah lain yang menggantikan ‘royalti’ kerana lain-lain istilah akan membawa maksud yang tidak tepat serta merendahkan hak, maruah dan kedaulatan rakyat negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam perjanjian Petroleum 1974, dan kegagalan menyerahkan royalti kepada rakyat dan negeri Terengganu adalah satu ‘pencabulan’ semangat federalisma.

“Ketiga, menuntut Royalti Petroleum dinaikkan kepada 20 peratus sebagaimana kerajaan Aceh menerima royalty dari Indonesia sebanyak antara 30 hingga 70 peratus.

“Dan keempat, mendesak Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menarik balik secara keseluruhan (en-bloc retraction) pada ‘Usul Menghentikan Royalti Petroleum’ kepada kerajaan Terengganu dalam ucapan perbahasan Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, yang menjurus kepada penamatan bayaran Royalti Petroleum kepada kerajaan Terengganu pada tahun yang sama dan digantikan dengan Program Pembiayaan Wang Ehsan pada 27 Oktober 2000,” jelasnya pada satu sidang media di tempat parkir Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, dekat sini.

Menurut beliau, pihak Sekretariat Royalti Terenggnau turut melahirkan rasa dukacitanya di atas penarikan balik saman kerajaan negeri Terengganu terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan pada 21 Mac 2012, sedangkan tuntutan hak royalti belum selesai.

(Muslimat turut turun untuk menyokong penyerahan memorandum)

Katanya, MB Terengganu dibawah kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said juga mungkir janji serta mengkhianati harapan rakyat bagi memastikan royalti Petroleum itu dipulangkan sebagaimana dijanjikan pada 11 Mac 2011, lalu.

Malah, kata beliau yang lebih mengejutkan banyak pihak bagaimana saman royalti yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ditarik balik tanpa persetujuan Dun Terengganu.

Penyerahan Memorandum Rakyat itu hanya diterima oleh Setiausaha Politik MB Terengganu iaitu Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di pintu masuk Wisma Darul Iman pada jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, orang ramai mula berkumpul seawal jam 9.00 pagi di tempat parkir kenderaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan berarak sejauh 500 meter ke Wisma Darul Iman.

Kesempatan itu, diambil oleh beberapa orang pimpinan NGO turut berucap dihadapan hampir 5,000 hadirin bagi menyatakan bantahan masing-masing terhadap kerajaan Umno-BN Terengganu berhubung isu royalti tersebut.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut pimpinan PAS Terengganu, Parti KeADILan Rakyat (PKR) Terengganu dan DAP Terengganu.

No comments: