KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi seseorang untuk
meninggalkan segala kesenangan, lebih-lebih lagi bagi seorang artis yang
penuh dengan kehidupan serba glamor.
Malah, terlalu banyak
pengorbanan yang terpaksa dilakukan apabila seseorang artis itu memilih
jalan yang berbeza dari rakan-rakannya.
Bagi penyanyi kumpulan Brothers dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman (gambar), beliau telah lima tahun merasai 'kehilangan' dari dunia arus perdana.
"Walaupun
tidaklah disenaraihitam, tapi saya dapat merasakan sudah agak kurang di
media perdana. Namun, saya percaya rezeki ada di mana-mana," ungkap
beliau ketika ditemui di Malam Seni untuk Perubahan, di Kelab Sultan
Sulaiman, malam tadi.
Beliau yang membuat kemunculan sulung
ketika di Konvensyen Pakatan Rakyat, bulan lalu menceritakan tentang
dirinya yang sudah lama menyokong dan mendokong perjuangan Pakatan
Rakyat.
Cuma, baru-baru ini sahaja beliau menyertai PKR secara
rasmi, dalam usaha menyampaikan mesej yang lebih bermanfaat kepada
peminat seni tanah air.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak
berminat menjadi wakil rakyat, sebaliknya lebih senang menyampaikan
mesej dengan nyanyian bagi mengajak rakyat membuat perubahan,
terutamanya rakan-rakan artis.
"Saya tidak berminat menjadi orang
politik. Tak mahu jadi wakil rakyat. Saya akan menyumbang berasaskan
bidang saya ini," tegas beliau.
Menyedari suasana hari ini yang
tidak memihak kepada rakan artis jika memilih Pakatan Rakyat, Yasin
berkata itulah antara pengorbanan yang perlu dilakukan.
Namun,
katanya ia bergantung atas kekuatan seseorang artis itu untuk membuat
perubahan, di samping bersedia bagi menghadapi suasana tersebut.
"Kalau
diikutkan, ramai lagi artis-artis di negara ini yang kuat menyokong
Pakatan Rakyat, cuma mereka belum bersedia. Ada yang mempunyai keluarga,
yang terpaksa menjaga periuk nasi mereka. Dan kita perlu hormati
mereka," kata beliau.
Berpandangan perubahan yang dilakukannya
tidak boleh memaksa rakan artis lain mengikut jejaknya, Yasin berkata
perubahan terbaik hanya berlaku apabila ia datang dari hati dan bukannya
ikutan semata-mata.
Dalam kesempatan itu juga, Yasin turut
menyeru rakyat Malaysia dan rakan artis agar bersedia untuk membuat
perubahan pada pilihan raya umum akan datang.
Sebelum itu, Yasin
menyampaikan persembahan di hadapan kira-kira 5000 hadirin yang memenuhi
padang Kelab Sultan Sulaiman, dengan mendendangkan lagu bertajuk 'Satu
Perjuangan'.
No comments:
Post a Comment