Thursday, March 21, 2013

Penjawat awam bukan bergaji buta


KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman menyifatkan tindakan segelintir pesara kerajaan yang mengkritik pelbagai dasar kerajaan atas pentas politik bersama parti pembangkang sebagai tidak mengenang budi adalah pandangan yang sangat dangkal.

“Penjawat awam bukannya bergaji buta, gaji yang diterima adalah untuk kerja yang dilakukan. Setelah sekian lama membanting tulang untuk kerajaan dan rakyat, tindakan menganggap pesara yang kini menyokong pembangkang sebagai tidak mengenang jasa adalah pandangan yang sangat dangkal,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim menyarankan Datuk Omar Osman untuk mengkaji kenapa para pesara kini beralih menyokong pembangkang.

“Sebagai Presiden CUEPACS, beliau harus sedar bahawa beliau bukan mewakili parti pemerintah. Beliau mewakili pelbagai kakitangan yang terdiri dari pelbagai segmen parti politik,” tegur Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan beliau bahawa CEUPACS tidak sepatutnya menjadi agen parti pemerintah dengan bertindak mengecam pesara kerajaan semata-mata kerana mereka kini menyokong pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru Omar untuk menghormati hak 600,000 pesara yang kini mula menyatakan sokongan kepada pembangkang.

“Beliau sepatutnya memperjuangkan kebebasan kepada kakitangan awam dalam menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka sukai.

"Akibat tekanan melampau semasa mereka bertugas menyebabkan mereka hanya menunggu hari pencen untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan yang memerintah,” hujah Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengingatkan kejadian pemberian penyapu oleh Menteri Besar Selangor yang menjatuhkan maruah kakitangan awam dan menimbulkan pelbagai tekanan kerja.

"Penyalahgunaan kuasa politik Umno sehingga memaksa kakitangan awam meninggalkan tugasan di pejabat semata mata memenuhi program Umno juga menimbulkan ketidaksenangan kakitangan awam.

"Bahkan ada yang menerima surat tunjuk sebab kerana tidak menghadiri program anjuran parti pemerintah yang tiada kena-mengena dengan tugasan,” tambah Tuan Ibrahim.

No comments: