Wednesday, November 14, 2012

Bantu Islam, bukan jadi batu penghalang - Tuan Ibrahim


(Tuan Ibrahim berucap di Padang Rengas - foto Muslimeen United)

PADANG RENGAS: "Cukuplah zaman kita menjadi penyokong PAS, sudah tiba masanya kita menjadi pekerja dan pembantu kepada PAS," kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis Kembali Ilmu di Kg Biong, Sauk, Padang Rengas dekat sini.

Untuk mencapai matlamat tersebut, beliau menggesa kepada semua ahli agar bersiap dan memperkemaskan jentera dan organisasi disemua peringkat.

Ini bagi memastikan misi untuk menawan Putrajaya akan berhasil, tegas Tuan Ibrahim sebagaimana yang dilaporkan oleh blog Muslimeem United.

(Sebahagian orang ramai yang hadir - foto Muslimeen United)

Beliau juga mengingatkan kepada ahli-ahli supaya jangan menjadi batu penghalang kepada kemenangan Islam, "Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan parti, maka ada salurannya, jangan kita menggunakan media musuh sebagai medan kita meluahkan ketidakpuasan."

Dalam ucapannya juga beliau menyarankan kepada pimpinan agar menggunakan segala ruang yang ada disekeliling bagi memenangkan Islam.

"Orang muda dengan cara orang mudanya, orang tua dengan cara orang tuanya, bahkan sekiranya seseorang itu hanya boleh makan sahaja pun perlu digunakan untuk memenangkan Islam," seloroh beliau.

Program Jelajah Kembara Ilmu bersama beliau dimulakan dengan Kuliah Dhuha di Balai Tasawur Islam, Simpang Empat, Semanggol, kemudian Hitea di Kg Biong, sauk.

Kuliah Maghrib pula di Kg luat Lenggong dan ceramah umum bersama Ketua Pemuda PAS Perak di Pekan Karai, Kuala Kangsar.

No comments: