KOTA BHARU: Disebalik kritikan yang dilemparkan kepada
Harakah khususnya oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulamak dalam muktamar
kedua-dua dewan itu semalam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang hari ini turut membuat penjelasan.
Beliau
yang ditanya wartawan berhubung perkara itu berkata, PAS bersedia
menerima segala teguran yang dibuat mana-mana pihak terhadap lidah rasmi
parti itu.
"Kita orang Islam diajar tiada yang sempurna, yang sempurna Tuhanyang satu. Saya pun tak sempurna orang boleh kritik.
"Dalam masa yang sama kita menerima nasihat dari semua pihak," katanya.
Bagaimanapun
bagi beliau, peranan Harakah membawa suara parti setakat ini boleh
dibanggakan walaupun berdepan tekanan dan kekangan dari pelbagai sudut.
"Sehingga ini saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily.
"Kita
kena faham bahawa Harakah berada dalam persimpangan, untuk ahli parti
dan pada masa yang sama perlu sebarkan maklumat kepada umum. Jadi
inilah yang menjadi dilema," katanya.
Beliau berkata demikian
sebagai mengulas usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Wilayah semalam yang
mahu PAS membuat rombakan semula sidang editorial lidah rasmi parti itu
kerana didakwa perjuangannya telah terpesong dari matlamat penubuhan
asal.
Dalam usul itu juga, mereka mahu PAS menubuhkan satu
jawatankuasa penapis bagi membuat saringan terhadap berita-berita yang
dilaporkan.
Terdahulu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden
pagi tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kesemua jentera penarangan PAS
iaitu Harakah, Harakahdaily dan Lajnah Penerangan, perlu terus
diperkasakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Beliau
juga berbangga dengan wartawan dan petugas penerangan kerana sanggup
dan setia bertugas dengan parti walaupun berpeluang mendapat lebih jika
berkerja dengan organisasi lain.
Ditanya adakah PAS akan membuat
pengstrukturan semula sidang editorial Harakah seperti desakan dalam
usul Dewan Pemuda semalam itu, beliau berkata perkara itu akan dibincang
dahulu secara dalaman.
"Itu masalah dalaman parti, jadi kita akan bincang di peringkat dalaman," katanya.
No comments:
Post a Comment