Friday, November 16, 2012

Adun bebas Perak: Habis madu sepah dibuang


IPOH: Habis madu sepah dibuang. Mungkin peribahasa itu yang sesuai untuk menceritakan nasib empat Adun Bebas di Perak yang berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pakatan sebelum ini.

Kalau sebelum ini jasa mereka sangat diperlukan, Adun yang sudah berpangkat datuk pun tidak mendapat kerusi untuk bertanding.

Ekoran itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan akan berlaku pelbagai pergolakan di dalam Komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Perak di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini.

Terkini adalah perkembangan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Jelapang yang disandang oleh Datuk Hee Yit Foong setelah 'melompat' parti dari DAP menjadi ADUN Bebas pada tahun 2009.

Datuk Hee yang telah menyuarakan hasratnya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket BN atau MCA telah mendapat bantahan keras dari Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Perak.

Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Hee itu, samada telah mendapat restu Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir atau tidak, dengan segera mendapat maklumbalas Datuk Seri Chua yang menafikan kedudukan kerusi DUN Jelapang yang sebelum ini ditandingi oleh MCA.

Namun sehingga kini Datuk Seri Zambry masih membisu seribu bahasa.

"Persoalannya apakah kedudukan Datuk Hee pada PRU 13 nanti? Apakah pendirian Datuk Seri Zambry sebagai Pengerusi BN Perak? Adakah juga Datuk Hee akan bertanding atas tiket Bebas pada PRU 13 nanti.

"Bagaimana pula tentang kerusi DUN Bebas yang lain di DUN Behrang, Changkat Jering dan Malim Nawar?" soal Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Al-Amin (gambar).

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS Perak mencabar Datuk Seri Zambry menjelaskan kedudukan ADUN-ADUN Bebas tersebut yang menjadi 'faktor utama' dan 'kuasa ketiga' terhadap rampasan kuasa Negeri Perak yang dipilih rakyat.

"Kami ingin melihat samada Datuk Seri Zambry akan menamakan mereka untuk bertanding atas tiket BN pada PRU 13 nanti atau pun bertanding atas tiket Bebas bagi membuktikan mereka masih releven buat rakyat yang telah memilih mereka.

"Kami merasakan 'ujian besar' buat Datuk Seri Zambry sama ada 'menerima' atau 'menolak' ADUN-ADUN Bebas tersebut pada PRU 13 nanti!" katanya.

No comments: