Wednesday, November 14, 2012

Unit Amal sertai Istiadat Perbarisan Kehormatan


(Unit Amal menyertai pembarisan sempena sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad)

KOTA BHARU: Pasukan Unit Amal diberi penghormatan menyertai Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan sempena sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Padang Merdeka, kelmarin.

Unit Amal diwakili Briged Amal dari Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah, Panchor, Pengkalan Chepa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pertama kali dalam sejarah pasukan Unit Amal dijemput menyertai acara rasmi peringkat negeri.

"Ini merupakan satu pengiktifaran yang belum pernah berlaku sejak kewujudan Unit Amal kira-kira 25 tahun lalu.

"Saya yang turut sama berada di pentas utama terasa begitu teruja melihat kecekapan anggota-anggota Unit Amal, yang mana sebelum ini hanya kelihatan pada program-program parti.

"Mereka juga berkemampuan menyertai acara besar seperti itu dengan segak berbaris seperti pasukan berpakaian seragam lain," katanya di sini.

Pasukan Briged Amal tersebut disertai 35 anggota pernah muncul sebagai johan pertandingan kawat kaki anjuran Yayasan Islam Kelantan.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, Unit Amal mengembangkan pasukan berpakaian seragam itu ke beberapa sekolah agama di bawah Yik, di mana mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar.

Sementara itu sempena perasmian Muktamar PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) pada Jumaat ini difahamkan pasukan Unit Amal juga akan diberi penghormatan mengadakan perbarisan kehormatan.

No comments: