Thursday, June 07, 2012

RTM: Tidak memadai sekadar bentang manifesto


KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendirian keputusan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi televisyen adalah tidak memadai untuk akses pilihan raya yang adil.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, meskipun DMPP menyambut baik keputusan itu, namun kerajaan juga harus memberi ruang kepada parti-parti politik menerangkan manifesto mereka dan menjawab segala tohmahan kerajaan kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Sekadar memberi ruang kepada pembentangan manifesto tidak mencukupi. Apatah lagi ketika Umno BN sepanjang masa melontarkan fitnah terhadap PR melalui 24 jam siaran TV dan radio yang dikuasi mereka.

"Ruang dan peluang yang lebih adil dan berimbang kepada semua parti politik dalam menjayakan demokrasi pilihan raya mesti berjalan dan terpakai kepada semua tanpa memilih bulu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan pembentangan manifesto parti-parti politik dalam waktu yang dihadkan.

Aiman berkata, tiada guna PR diberi masa satu atau dua jam untuk membentangkan manifesto tetapi selepas itu PR diserang dan diperlekeh sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Justeru katanya, pengumuman Rais itu seperti melepaskan batuk di tangga dan usaha mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan melaksanakan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

"DMPP percaya pengumuman ini hanyalah suatu tindakan silap mata bertujuan mengaburi kesedaran rakyat, membohongi rakyat yang kononnya kerajaan telah memenuhi tuntutan Bersih 2.0.

"Kita yakin dan percaya pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) kini sangat tertekan dengan kesedaran dan kebangkitan rakyat," katanya lagi.

Walau bagaimanapun ujarnya, rakyat konsisten mendesak kerajaaan memenuhi lapan tuntutan Bersih, salah satunya akses media yang adil kepada semua parti.

"Sbg pihak DMPP cabar pentadbiran Najib agar berani dan matang dalam menghadapi rakyat. Jangan asyik menjerit meminta pimpinan PR jadi anak jantan tapi Umno BN sendiri jadi pondan," tegasnya.

No comments: