Thursday, June 07, 2012

Menteri Pendidikan Tinggi: Khairy ganti Khalid Nordin


KUALA LUMPUR: Walaupun menjadi seterusnya dalam debat, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencadangkan agar Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang baru.

Ini kerana, cadangan Khairy sepanjang debat PTPTN baru-baru ini jauh lebih berwibawa berbanding dengan tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin.

Pandangan Rafizi ini diberikan beliau ekoran kenyataan Khalid yang menyokong tindakan PTPTN menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar baru Unisel.

Khalid dalam kenyataannya berkata, “Unisel boleh hapuskan yuran, dgn sendirinya memenuhi matlamat
pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yg dilaungkan Anuar dan Pakatan”

"Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar:

"apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno/Barisan Nasional?" soal Rafizi dalam kenyataannya.

Bagi beliau, perkembangan terbaru bahawa PTPTN bertindak menyekat pinjaman pelajar Unisel adalah membimbangkan.

Polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar diraikan.

PKR, katanya, mengambil pendirian bahawa model pendidikan tinggi sedia ada yang mendahulukan pendidikan swasta dengan menghadkan pelaburan di dalam institusi pendidikan awam akan menjerumuskan negara ke kancah hutang seperti yang telah berlaku di negara-negara lain.

Pada masa yang sama, PKR juga,  yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat, kata Rafizi.

Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat, tegasnya.

Seharusnya, kata beliau, Datuk Seri Khaled Nordin, sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti yang diamalkan sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dengan berdendam dan menghukum pelajar.

"Saya juga harus memuji rakan saya Saudara Khairy Jamaluddin yang jelas lebih professional dan berilmu dalam hal ini, sewajarnya beliaulah yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi oleh Umno/Barisan Nasional bagi menggantikan Datuk Seri Khaled Nordin," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," tegasnya.

Jika beliau tidak terlibat, beliau harus bertanggungjawab campur tangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan yang zalim ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

No comments: