Sunday, June 03, 2012

Himpunan Hijau penuh gaya menuju Putrajaya



(Pandangan penuh dalam Stadium Darul Aman malam tadi)

ALOR SETAR: PAS melancarkan kempen menuju Putrajaya malam ini dengan penuh bergaya apabila Himpunan Hijau ke Putrajaya berjalan dengan meriah dan  penuh warna warni.

Himpunan malam ini berjalan ala pesta-pestaan apabila segala bunyi-bunyian dari serunai di samping bendera PAS sentiasa sahaja berkibar memenuhi stadium.

(Mengibarkan bendera satu pendekatan baru dalam majlis yang dianjurkan oleh PAS)


Ia sangat hidup dan merupakan sejarah baru yang dicipta PAS apabila majlis yang dikendalikan oleh Datuk Mahfuz Omar berjalan dengan penuh  jayanya.

Kalau selama ini takbir yang bergema di dalam majlis-majlis PAS tetapi kali ini takbir bergema dengan diiringi serunai dan kibaran bendera PAS, Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri yang memenuhi stadium Darul Aman.


(Datuk Mahfuz yang mengendalikan majlis malam tadi menjadikan acara ini penuh happening)



Keceriaan jelas terbayang kepada semua yang hadir hatta Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sentiasa tersenyum sepanjang majlis ini.

Pendek kata, jika himpunan ini bertujuan untuk memberikan motivasi kepada ahli dan penyokong PAS, Himpunan Hijau ini benar-benar mempersiapkan mereka untuk ke Putrajaya.

Baiah atau ikrar yang dipimpin oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan penolongnya, Datuk Takiyudin Hasan benar-benar meresap ke dalam jiwa para peserta perhimpunan ini.

Hampir semua yang hadir berdiri dengan megah dan sama-sama melaungkan ikrar yang dilafazkan Mustafa dengan bantuan layar besar stadium ini.

(Tiga pemimpin utama di pentas malam tadi)


Gimik himpunan iaitu tendangan 13 biji bola berwarna hijau ke arah penonton oleh enam bekas pemain bola sepak kebangsaan yang kini bersama PAS juga membuatkan peserta himpunan ini teruja.

Mereka sama-sama berebut bola yang ditendang oleh pemain yang sebelum ini menjadi pujaan mereka. Lagu Hijau Kuning yang dimainkan selepas tendangan Radzi Mat Din, bekas Kapten bolasepak Kedah, juga memberi seribu makna.

Bait-bait lagunya diikuti dan dinyanyikan sama-sama oleh lebih 100,000 peserta yang sudah pasti kebanyakan mereka penduduk negeri Kedah itu.
Kemuncak acara malam ini adalah perisytiharan Datuk Profesor Dr Nik Zain Nik Yusof, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi, menyertai PAS.

(Nik Zain memegang bendera PAS menjadi teknokrat terbaru yang menyertai PAS)

Nik Zain menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ia menjadi acara yang paling ditunggu oleh media kerana sejak beberapa hari lepas, media sudah diwar-warkan akan ada kejutan malam ini.

Dan kejutannya adalah penyertaan seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan menyertai PAS selepas penyertaan Datuk Fauzi Shaari sebelum ini.

Dengan penyertaan beliau, lengkaplah sudah organisasi PAS. Ada artis, ada karyawan, ada bekas polis dan tentera, ada bekas pegawai tadbir yang kanan dan sebagainya.


(Stadium yang penuh sesak...44,000 kerusi dan lebih 60,000 di atas padang menjadikan sasaran untuk 100,000 mencapai sasaran)

Pendekata, PAS menyertai pilihan raya umum ke 13 ini dengan penuh gaya dan dengan moral yang tinggi untuk mencapai kemenangan terbaik. Moral yang tinggi disuntik oleh Himpunan Hijau ini.

Moral yang tinggi inilah yang bakal menjadi bekalan kepada mereka untuk menerima segala serangan media BN yang sudah menjadi kepastian menjelang pilihan raya ini.

Benar sebagaimana kata pepatah China yang dikemukakan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw pagi tadi, "emas yang baik tidak takut disepuh dengan api yang panas."

No comments: