Tuesday, September 18, 2012

Hina Nabi: Himpunan di kedutaan AS Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) telah membuat persediaan untuk menganjurkan Perhimpunan Aman bagi membantah filem kontroversi 'Innocence of Muslim' di hadapan Kedutaan Amerika pada 21 September ini sejurus selepas solat Jumaat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata penerbitan filem itu merupakan satu provokasi melampau yang boleh mencetuskan keganasan seperti berlaku di Libya dan tidak mustahil merebak ke negara umat Islam lain jika tidak dihentikan.

"Kita minta Barack Obama mengambil tindakan segera kerana ianya memburukkan lagi persepsi masyarakat dunia terhadap dasar luar Amerika khususnya berkait hubungan dengan negara Islam.

"Beliau perlu menunaikan janji awal beliau untuk pulihkan hubungan barat dengan umat Islam," katanya.

Sementara itu, Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, beliau telah membuat pengerahan supaya setiap Dewan Pemuda PAS Negeri menghantar sekurang-kurangnya 5 ribu anggota Pemuda PAS dalam himpunan ini.

Manurutnya, DPPM juga telah mengarahkan agar 1000 anggota Jabatan Amal untuk menjalankan tugas sepanjang himpunan ini diadakan nanti.

Makluman secara rasmi kepada pihak keselamatan katanya akan dibuat dalam masa yang terdekat bagi memastikan bahawa himpunan ini dapat dilaksanakan dengan aman tanpa diganggu oleh provokasi mana-mana pihak.

"Kita menggesa agar seluruh umat Islam di negara ini untuk turut serta dalam himpunan aman ini bagi menyatakan rasa cinta dan sayang kita kepada Nabi Muhamad s.a.w serta menyatakan sikap kita terhadap kebiadapan Sam Becile dan sekutunya yang tidak bertanggung jawab ini.

"Kita juga menjemput seluruh pemimpin parti politik untuk bersama dalam himpunan ini sebagai satu isyarat bahawa rakyat Malaysia tidak dapat menerima penghinaan terhadap Rasulullah dan tindakan menghina Islam perlu dihentikan segera," katanya.

No comments: