Wednesday, September 19, 2012

Selangor mahu Pusat lebih komited selesai isu air


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan kepada kerajaan Pusat tentang tindakan seterusnya untuk menyelesaikan perstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor seperti yang dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, makluman telah dibuat melalui surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bertarikh 14 September.

“Surat ini juga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rujukan beliau.

“Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat  konsesi  walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah WSIA,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga menyatakan keengganan menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggung jawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA.

“Sehubungan itu, saya memaklumkan sekiranya menteri dan kementeriannya tidak memberi maklum balas yang bertentangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini, saya beranggapan pihak kementerian tidak mempunyai sebarang bantahan untuk saya meneruskan penstrukturan ini,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

No comments: