Wednesday, September 19, 2012

Jangan ancam keselamatan penduduk Bukit Koman

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Pahang dan pihak berkuasa tempatan wajar mengambil serius penempatan kilang yang dikategorikan sebagai industri berat.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata penempatan kilang-kilang terbabit perlu mengambil kira lokasi dan jarak di antara kilang dan kawasan kediaman.

"Bagaimana kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan boleh membiarkan operasi lombong emas di Bukit Koman, Raub yang begitu hampir dengan kawasan penduduk?" soal beliau merujuk lokasi Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang dikatakan hanya sekitar 50 meter dari rumah penduduk.

Tambah beliau, lombong emas yang menggunakan bahan sianida yang sudah tidak digunakan di negara-negara lain itu, dibimbangi akan menyumbang kepada masalah kesihatan di kalangan penduduk.

Ia berikutan aduan yang diterima daripada penduduk Bukit Koman yang mula mengadu mengalami kegatalan, batuk berpanjangan, dan simptom-simptom lain yang membimbangkan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menafikan penggunaan sianida di lombong itu menjejaskan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Zulkefly yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat itu, berkata adalah tidak wajar bagi industri berat beroperasi berdekatan rumah penduduk.

"Kenyataan menteri besar itu tidak akan menyelesaikan masalah yang dilalui penduduk. Kerajaan negeri sepatutnya memberi perhatian yang lebih serius berhubung hal ini dan tidak menyalahkan Pakatan Rakyat semata-mata," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Adnan, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, semalam dilaporkan berkata ancaman sianida terhadap penduduk sekitar Bukit Koman, Raub yang didakwa berpunca dari kilang RAGM merupakan satu agenda politik pembangkang.

Beliau berkata ia bukan masalah alam sekitar, sebaliknya isu politik yang sengaja digembar-gemburkan pembangkang.

Zulkefly, bagaimanapun berkata penggunaan sianida ini sudah lama dihentikan oleh negara-negara lain kerana kandungannya yang berbahaya.

Selain ia mudah larut di dalam air, Zulkefly juga mendakwa bahan ini juga turut digunakan ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Sehubungan itu, beliau bimbang sekiranya berlaku sebarang kebocoran atau apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan risiko kepada penduduk setempat.

No comments: