Monday, September 17, 2012

Bedah buku: Tantawi, motivasi dan akhlak perjuangan

Hidup di landasan perjuangan Islam ini tidak mudah. Hakikatnya, tiada siapa kata perjuangan Islam ini mudah. Dengan berbekalkan ketaqwaan dan keimanan pada Allah, ramai yang cuba menempuh perjuangan ini.

Namun, tanpa ketaqwaan dan keimanan kepada Allah yang kuat beserta kemahiran memotivasikan diri sendiri, ramai yang tersungkur.

Ramai yang menarik diri di pertengahan jalan.

Ramai yang terpengaruh dengan kesenangan duniawi, dan mengatakan kepada diri sendiri, ada orang lain yang bakal meneruskan perjuangan ini.

Ada pula yang menggunakan jalan terpesong untuk memperjuangkan agama Allah, yang akhirnya bukan dia saja yang tersungkur malah Islam terpalit dengan nama buruk akibat “perjuangan” beliau.

Ada ramai yang menyatakan mereka sedang memperjuangkan Islam. Namun, apabila ditanya apakah perjuangan Islam? Jawapan yang didengari cukup berbeza.

Bagi Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi, inilah tujuan perjuangan Islam:

“Perjuangan kita adalah untuk mencari keredhaan Allah. Justeru itu pastikan aksi dan ucapan kita tidak mencetus kemurkaan Allah.

Perjuangan kita untuk memenangi hati manusia. Justeru itu usahakan dakwah dan kempen kita tidak meliarkan mereka.

Perjuangan kita adalah untuk memelihara kesucian Islam. Justeru itu pastikan kita tidak melakukan maksiat dan mungkar.

Perjuangan kita untuk mendaulatkan syariat Islam. Justeru itu, pastikan kita menepati pra syarat kemenangan dariNya.”

Bagi beliau, perjuangan Islam adalah perjuangan untuk Allah.

Ustaz Tantawi sentiasa mengingatkan diri bahawa:

“Kemenangan adalah anugerah Allah. Namun untuk menang syaratnya mestilah berjuang.

Pun begitu berjuang tidak semestinya menang. Jadi, berjuanglah kerana Allah s.w.t.”

Berbekalkan ini, jarang kita melihat motivasi Ustaz Tantawi luntur meskipun berdepan dengan pelbagai mehnah perjuangan.

Setiap pemahaman, kesedaran dan ilmu yang diperoleh beliau dicatatkan dengan gigih dalam laman Facebook beliau.

Beliau memahami dalam perjuangan Islam, musuh utamanya bukan musuh yang ingin menggagalkan hasrat Islam, tetapi diri sendiri yang mudah tewas di medan juang sebelum sempat bergelanggang dengan musuh.




Ketika berjuang, Ustaz Tantawi juga menekankan kepentingan menjaga akhlak dan siasah supaya nama Islam tidak dicemari dengan tindakan-tindakan yang tidak melambangkan Islam sebenarnya.

Bagi beliau, Islam mesti dimenangi dengan cara menawan dengan kebaikan dan bukannya kemungkaran, maksiat dan segala yang Allah murkai.

Mutiara kata-kata beliau di Facebook cukup berharga bagi para pejuang agama Allah sebagai sumber motivasi dan panduan dalam menghadapi mehnah, rintangan dan jalan berliku untuk mencapai kemenangan sebenar di dunia dan di akhirat.

Nasihat, motivasi dan teguran beliau bukan sahaja merangkumi cara menghadapi musuh – tapi juga cara menjaga tingkahlaku sendiri, menguruskan pemikiran terhadap sahabat dan keluarga dan perangkap duniawi yang boleh melemahkan semangat perjuangan.

Kini, semuanya dibukukan dalam Buku Catatan Seorang Pejuang yang selamat dilancarkan pada 14 September 2012 di KUIZM, Taman Melewar di Majlis Hari Raya Dewan Pemuda PAS Pusat bersama pengamal media dan selebriti.

Selain motivasi perjuangan, buku ini turut memaparkan nota dakwah yang mudah difahami mengenai Hukum Hudud yang disalah-faham oleh segenap lapisan masyarakat.

Bakat penulisan Ustaz Tantawi dalam berpuisi dan bersajak dalam beberapa catatannya ketika mengharungi cabaran perjuangan turut dibukukan.

Buku kedua terbitan VI Venture, selepas buku Senyumlah tulisan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man kini dijual pada harga pasaran RM22.

No comments: