Thursday, September 20, 2012

Mesir keluar waran tangkap dalang filem hina Nabi


(Pastor Terry Jones memberitahu Associated Press bahawa beliau telah diminta untuk mempromosikan video hina Nabi tersebut)

KAHERAH: Pejabat pendakwa raya Mesir telah mengeluarkan waran tangkap untuk tujuh orang Kristian Koptik Mesir dan seorang paderi Amerika dari Florida atas peranan mereka dalam filem yang menghina Nabi yang telah mencetuskan kekacauan dalam dunia Islam.

Waran dikeluarkan Selasa lalu, mengarahkan defendan menghadapi perbicaraan atas tuduhan berkaitan filem "Innocence of Muslim", yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang penipu, kasanova, dan pelawak.

Rusuhan yang dicetuskan filem tersebut mengakibatkan kematian duta AS ke Libya dan tiga rakannya minggu lepas.

Empat lelaki tersebut diserang di bandar timur Libya, Benghazi, tempat bermulanya pemberontakan bersenjata yang menggulingkan Muammar Gaddafi tahun lepas.

Banyak protes terhadap filem tersebut telah diadakan di negara Arab dan negara Islam - termasuk Afghanistan, Yaman dan Indonesia - dengan penunjuk perasaan menyeru Amerika Syarikat menghukum dalang di sebalik video tersebut.

Tuduhan ini hanyalah simbolik kerana tujuh lelaki dan seorang wanita yang didakwa dipercayai berada di luar Mesir dan tidak mungkin akan ke Mesir untuk menghadapi tuduhan tersebut.

Keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ini bertujuan menenteramkan kemarahan orang ramai terhadap filem amatur yang trelernya telah menarik puluhan juta tontonan di Youtube.


Defendan Utama


Antara mereka yang didakwa adalah Nakoula Basseley Nakoula, seorang warga Mesir Koptik yang tinggal di selatan California dan dipercayai menjadi dalang di sebalik filem itu.

Mereka yang turut didakwa adalah seorang paderi Amerika, Pastor Terry Jones, yang berkata beliau telah dihubungi oleh pembikin filem untuk mempromosikan filem tersebut dan Morris Sadek, seorang konservatif Kristian Koptik di Amerika Syarikat yang meletakkan video tersebut di laman webnya.

Kaitan lima defendan yang lain dengan filem itu bagaimanapun tidak begitu jelas.

Nakoula, 55, memberitahu agensi berita AP dalam satu temu bual minggu lepas di luar Los Angeles bahawa dia adalah pengurus syarikat yang menghasilkan filem "Innocence of Muslims”.

Jones juga memberitahu AP bahawa beliau telah dihubungi oleh Nakoula untuk mempromosikan filem tersebut.

Pejabat pendakwa raya berkata dalam satu kenyataan bahawa tertuduh, termasuk penerbit filem, menghadapi dakwaan merosakkan perpaduan nasional, menghina dan menyerang Islam secara terbuka dan menyebarkan maklumat palsu. Mereka boleh menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tarikh perbicaraan masib belum ditetapkan.

Mamdouh Ismail, seorang peguam Salafi, memuji keputusan pendakwa raya.

Walaupun menyedari bahawa lapan defendan akan dibicarakan tanpa kehadiran mereka, Ismail berkata mengarahkan mereka ke perbicaraan akan membantu membendung kemarahan orang ramai.

"Sekarang ini adalah langkah undang-undang dan bukannya reaksi kemarahan, yang akibatnya tidak dapat ditentukan," katanya. "Ini juga akan menetapkan batasan untuk mereka dan sesiapa sahaja yang mungkin melakukan kesalahan ini”.

Kenyataan pendakwa raya, yang mana satu salinannya telah diperolehi oleh AP, dikeluarkan selepas penyiasat filem menentukan bahawa filem tersebut mengandungi adegan yang menghina institusi Islam dan Mesir.

Kenyataan itu juga mengatakan bahawa mereka menyoal 10 plaintif sebelum mengeluarkan tuduhan tersebut.

No comments: