KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempelawa
seluruh umat Islam yang cintakan agama turun dalam himpunan membantah
filem 'Innocence of Muslims' yang menghina Nabi pada Jumaat, 21
September ini.
Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, semua pihak
berhak turun menyatakan bantahan dan tidak timbul soal siapa pelawa
siapa untuk himpunan itu nanti.
"Saya telah diaju pelbagai soalan
oleh media berkait sikap pemuda PAS terhadap pelawaan pemuda Umno
dalam isu himpunan membantah penghinaan terhadap Rasululla SAW.
"Suka
saya tegaskan bahawa perkara ini bukanlah isu sebenar. Sebaliknya, yang
jadi isu ialah penghinaan ke atas Nabi SAW. Adapun, siapa membantah
filem yang menghina Nabi itu, turunlah ke kedutaan US Jumaat ini. Habis
cerita," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada pihak yang mahukan pendirian dewan itu terhadap pelawaan pemuda Umno.
Menurut
Nasrudin, DPPM sedari awal, sejak Rabu, 12 September lalu telah
memutuskan untuk mengadakan himpunan di Kedutaan Amerika itu pada Jumaat
ini.
Sedangkan hanya pada Isnin, 17 September lalu, beliau
mengetahui melalui media bahawa pemuda Umno ada mengajak pemuda PAS
untuk turun berdemontrasi bersama-sama.
"Terima kasihlah kerana
menjemput kami. Kalau tiada jemputan pun, Kami memang akan turun pada 21
September ini, kerana kami terlebih awal telah “dijemput" oleh Nabi
kami SAW untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaannya,"
katanya lagi.
Nasrudin juga melahirkan rasa hairan kenapa isu
'pelawaan' tersebut dipolemikkan sehingga mengalih pandangan umum
daripada isu sebenar .
"Atau mereka sengaja mahu mencari
political millage dan hendak tunjuk hero kepada masyarakat? Kalau mahu
berdemo, turun saja lah, tidak perlu buat bising. Apakah mereka
bergantung kepada keputusan pemuda PAS baru akan turun demonstrasi?
"Lucunya,
kenduri belum lagi bermula, sudah ada yang berebut meja makan.
Tunggulah hari kenduri, kemudian datang dan ambillah mana-mana kerusi
dan meja kosong. Kenapa mahu bising-bising? Mahu cari publisiti murah?"
soalnya.
No comments:
Post a Comment