(Kartunis Indipendan cabar Kartunis Hantu berdebat)
KUALA LUMPUR: Kumpulan Kartunis Independen (KKI) mencabar 'kartunis hantu' berdebat ekoran tindakan mereka merelakan diri mereka dipergunakan untuk kepentingan tertentu.
Ini kerana, tindakan 'kartunis hantu' ini mencemarkan nama baik kartunis Malaysia dan ia perlu dihentikan.
Cabaran ini dikemukakan oleh Zulkiflee SM Anwarul Haque (atau nama penanya Zunar), pemimpin Kumpulan Kartunis Independen yang disertai oleh 11 lagi kartunis.
Kenyataan ini turut ditandatangani oleh kartunis Nor Azlin Ngah (Jonos), Azmie Md Taha, Johnny Ong, Azman Md Noh (AMN), Mohd Afendi Ramli (Ronasina), Abdullah Jones, Amier Hamzah Hashim (Ibnukaduk), Azhar Saad (Art), Azlan Isa (Orang2), Sham Saimun Ezil (Along) dan Lili Zam (Haili).
KKI adalah sebuah kumpulan kartunis yang mempertahan hak kartunis berkarya dan kepentingan kartunis untuk berkarya secara bertanggung jawab.
"Kami juga menolak budaya rasuah," kata kenyataan itu.
Sejak akhir-akhir ini semakin banyak muncul kartun-kartun yang dihasilkan dalam bentuk risalah dan diedarkan di tempat-tempat awam seperti di masjid dan di sekolah-sekolah.
Kandungan di dalam kartun-kartun ini menyerang peribadi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpin Bersih.
"Sementara kami menghormati hak setiap kartunis untuk bebas berkarya, kami juga berpendirian bahawa setiap kartunis mestilah bertanggungjawab terhadap setiap mesej yang mereka terapkan dalam karya-karya mereka.
"Tetapi didapati di dalam karya-karya tersebut, kartunis-kartunis berkenaan menyembunyikan identiti dengan tidak menandatangani atau meletakkan nama mereka di dalam lukisan tersebut.
"Dengan bersikap begini, kartunis-kartunis berkenaan mempamerkan sikap tidak bermoral, tidak bertanggungjawab, perlecehan etika serta merendahkan martabat mereka sebagai seorang artis," kata Zunar dan rakan-rakannya dalam satu kenyataan hari ini
Bagi beliau, etika kartunis ialah bagi setiap karya mesti ditandatangani atau diletakkan tanda pengenalan sebagai membuktikan kartunis benar-benar tahu apa yang dilukis, bertanggungjawab terhadap mesej dan bersiap menghadapi risiko atas lukisan tersebut sekiranya berbangkit.
Kartunis-kartunis hantu ini mencemarkan nama baik kartunis Malaysia dan ia perlu dihentikan, tegas beliau.
"Kami dapati juga semua kartun-kartun tersebut menyokong Barisan Nasonal yang mengamalkan budaya rasuah seperti dalam kes NFC dan Scorpene, misalnya.
"Sehubungan itu, kami mencabar kartunis-kartunis ini supaya mengambil pendekatan bermoral dan tampil memperkenalkan diri serta indentiti mereka," katanya.
Mereka juga ingin mencabar kartunis-kartunis tersebut supaya membuat kenyataan terbuka apakah mereka mempertahankan idealisme menyokong rasuah yang mereka terapkan dalam karya-karya mereka.
"Kami juga mencabar kartunis-tersebut supaya berdebat dengan ahli-ahli Kumpulan Kartunis Independen mengenai idealogi dan etika melukis kartun politik di mana dan bila-bila masa jua," katanya.
No comments:
Post a Comment