Tuesday, April 19, 2011

Video Boleh Jadi Bukti Setelah ada Empat Saksi (Adil)

tn_nikmohdzawawi_01Kuala Lumpur, 18 April 2011 - Rakaman video seks seseorang yang didakwa berzina hanya boleh dijadikan bukti sokongan di Mahkamah Syariah dengan syarat utamanya mestilah disertai dengan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan tersebut.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh menegaskan, bagaimanapun video yang menjadi bukti sokongan itu mestilah dikenal pasti ketulenannya dan individu dalam video tersebut benar- benar orang yang dituduh.
Tambahnya, jika orang yang membuat tuduhan itu hanya menyertakan video semata-mata bagi membuktikan kebenaran perlakuan seks tersebut, ia tidak boleh diterima pakai dalam perundangan Islam kerana syarat utama ialah disertai empat orang saksi yang adil.
"Video hanyalah sebagai bahan sokongan kerana bahan utamanya ialah empat orang saksi. Memang tidak boleh diterima pakai jika hanya bergantung pada satu bukti sahaj a iaitu video atau bahan-bahan lain," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainol Rijal Abu Bakar video seks seseorang yang didakwa berzina boleh dijadikan bukti di Mahkamah Syariah, jelas Ustaz Nik Muhammad Zawawi, sebagai peguam syarie, Zainol Rijal seharusnya lebih tahu mengenai undang-undang Islam.
Beliau turut berpendapat kenyataan Zainol Rijal itu menggambarkan seolah-olah beliau tidak faham dengan undang-undang Islam serta sistem kehakiman Islam yang mempunyai peraturannya, sebagaimana undang-undang sivil yang juga mempunyai peraturannya sendiri.
"Barangkali beliau sudah terlalu biasa dengan undang-undang sivil. Apabila bercakap soal agama beliau terikut-ikut dengan kaedah dan pendekatan undang-undang sivil.
"Saya ingin menasihatinya supaya membezakan sistem perundangan Islam dengan sistem perundangan sivil. Perundangan Islam ini datangnya daripada Allah yang mempunyai sistemnya sendiri yang tidak boleh direka cipta oleh manusia.
"Allah telah menentukan kes yang membabitkan zina dan liwat mesti disertai empat orang saksi yang adil dan barulah kita boleh menuduh si polan bin si polan dan seterusnya barulah boleh membawa bukti sokongan," tegasnya.
Kenyataan Zainol Rijal itu turut disangkal Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dalam satu kenyataannya yang berpendapat kenyataan tersebut menyeleweng' daripada prinsip Islam.
"Jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan dua perkara sahaja iaitu pengakuan orang yang berzina dan pengakuan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan zina itu.
"Bukti video atau gambar atau rakaman tidak diterima bagi jenayah zina. Pandangan beliau ini cukup menyeleweng," katanya.

No comments: