Friday, April 22, 2011

Muhyiddin memburu guru, kebajikan terabai


18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 April: PAS kesal terhadap sikap Kementerian Pelajaran di bawah kendalian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Dr Fuad Zarkashi yang sibuk memburu guru-guru yang terlibat dengan pembangkang sebaliknya mengabaikan kebajikan guru-guru di sekolah.

Terkini, tindakan pertukaran Cikgu Maaruf Mutalib daripada Sekolah Menengah Tenang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengelih Pengerang Kota Tinggi, adalah satu contoh "politik barbarian" yang diulang semula di Kementerian Pelajaran.

Pertukaran kerana surat cuti sakit Cikgu Maaruf semasa pilihan raya kecil Tenang.

“Persoalannya surat sakit yang dikemukakan ialah daripada doktor hospital kerajaan, bukan daripada dukun,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, sepatutnya Muhyiddin dan Dr Fuad perlu turun ke padang melihat sendiri kebajikan guru-guru yang dibebankan dengan berbagai tugas.

Menurutnya, pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai tuntutan perjalanan yang dibuat oleh guru-guru yang pergi kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah sejak bulan Mac 2010 masih tidak dapat.

Begitu juga, katanya lambakan guru Sains dan Matematik seramai 26,000 merupakan satu lagi ukuran kegagalan Muhyiddin dan Dr Fuad untuk membuat unjuran keperluan guru-guru di sekolah-sekolah.

“Akhirnya guru ini terpaksa mengajar mata pelajaran lain daripada pengkhususannya.

“Apabila keadaan ini berlaku yang menjadi mangsanya ialah murid-murid sedangkan Muhyiddin begitu lantang mengkritik tawaran Pakatan Rakyat kepada guru-guru, imbuhan bulanan RM500, sehingga menuduh negara akan hancur dan bankrap.

“Nampaknya sekarang siapa yang bankrap sehingga peruntukan untuk kementerian beliau tidak cukup,” ujarnya.

Beliau berkata, jika itulah watak menteri yang menguruskan kilang yang melahirkan modal insan, maka negara akan hancur kerana meritnya bukan kebolehan tetapi ketaksuban kepada Umno.

Idris turut mempersoalkan kenapa Pengarah Pendidikan Johor, Markom Giran tidak diambil tindakan kerana berkempen kepada guru-guru ketika pilihan raya kecil Tenang.

“Akhirnya kita ingin mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin janganlah kamu melakukan kezaliman, kerana doa orang yang zalim tidak ada hijab dengan Allah.

“Ingatlah bahawa kamu ada anak isteri dan keluarga, kalau kamu tidak suka dizalim, Cikgu Maaruf dan Cikgu Normala juga tidak suka dizalimi,” ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan khas untuk Fuad Zarkashi mengenai kata-kata Asy-syahid Syed Qutb di dalam buku yang dibaca sewaktu bersama PAS dahulu iaitu "kezaliman walaupun nampak kuat, ia tidak kekal, sedangkan kebenaran walaupun nampak lemah, ia akan menang".

No comments: