KUALA LUMPUR, 19 April: Senator Dr Syed Husin Ali berkata, tiada salahnya mengucapkan tahniah di atas kemenangan BN di Sarawak tetapi jangan memperkecilkan prestasi Pakatan Rakyat (PR).
Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan titah ucapan baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, semalam.
Beliau yang gembira kerana dapat menyertai perbahasan itu membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku lebih awal sebelum memulakan perbahasan.
“Sepanjang pagi tadi beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak.
“Tiada salahnya ini, akan tetapi kurang enak didengar apabila pada masa sama diperkecilkan pula prestasi Pakatan,” ujarnya selaku Ahli Dewan Negara yang mewakili PKR.
Menurutnya, seorang teman daripada Umno bertanya kepadanya: Syed, tidak mahu ucap tahniah ke dan beliau tiada masalah mengucap syabas.
Akan tetapi, beliau ingin mengingatkan bahawa PR berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda.
“Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8 peratus undi yang diperolahi BN dari 63 ke 55 peratus.
“Benar BN mendapat lebih dua pertiga kerusi, akan tetapi ia gagal memperolehi dua pertiga undi,” ujarnya.
Ini, tambahnya berlaku walaupun kerajaan Umno BN menggunakan jentera kerajaan, memperalat media elektronik serta cetak, mengugut melalui SB, menabur wang dan seterusnya tidak habis-habis menggunakan isu fitnah sodomi dan video seks.
“Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, BN menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi fixed deposit BN,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment