KUALA LUMPUR: Selepas Presiden PAS membuat kejutan
menyatakan kesediaan bertanding di Pekan iaitu parlimen Datuk Seri Najib
Razak, kini Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyatakan
kesediaan bertemu Muhyiddin di Pagoh.
Menurut Salahudin, jika
parti memutuskan beliau bertanding di Parlimen Pagoh, iaitu kawasan
Timbalan Perdana Menteri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, maka
beliau bersedia.
Salahuddin berkata, beliau senada dengan
Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan
kesediaan bertanding Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
"Dalam nada yang sama, saya pun bersama dengan
Presiden meletakkan keputusan parti di hadapan, dan kita sentiasa patuh
dengan arahan parti walaupun mungkin tempat-tempat yang mungkin
ditandingi itu akan hadapi risiko yang tinggi," kata beliau ketika
ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Salahuddin yang juga Ahli
Parlimen Kubang Kerian sebelum ini sudah diputuskan untuk bertanding di
Johor, namun belum dipastikan kerusi Parlimen atau Dun.
Kata
Salahuddin lagi, beliau juga sudah membuat kenyataan di hadapan PAS
Johor bahawa beliau bersedia jika diarahkan bertanding melawan Menteri
Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.
"Semalam pun saya
buat kenyataan di jJhor, saya juga bersedia menerima arahan parti
sekiranya saya diarahkan untuk bertanding melawan Menteri Besar Johor.
Sebagai orang Johor, saya akur," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat parti yang terdekat.
"Mungkin
dalam mesyuarat akan datang saya tidak menolak kemungkinan perkara ini
akan dibincangkan dengan lebih serius mengenai kerusi-kerusi ini,"
katanya.
Minggu lalu, Ustaz Hadi berkata, beliau akan mengikut
keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau
Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment