Sunday, November 04, 2012

Umno, NGO perlu baiki rumah sendiri dahulu


KOTA BHARU: Umno dan NGO pro parti itu diminta memperbaiki kedudukan rumah tangga sendiri terlebih dahulu sebelum mencari kesilapan pihak lain, kerana kesannya begitu buruk apabila terkena diri sendiri.
Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata tindakan Pemuda Umno Kelantan dan NGOnya yang mengkritik kelewatan pembangunan Lembah Sireh juga dilihat sebagai menutup kelemahan diri sendiri.

“Antaranya kelewatan pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua, ketirisan projek, terbengkalai dan berbagai lagi kelemahan yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

“Kerana nak menutup kelemahan diri, mereka menyerang kerajaan negeri terutama masaalah air, pembangunan Lembah Sireh dan berbagai lagi walaupun ianya bukan suatu isu dan tidak berlaku masaalah,”ujarnya.

Zailah berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas tindakan Pemuda Umno Kelantan dan NGO Ombak projek pembangunan Lembah Sireh lambat siap dan SPRM perlu melakukan siasatan.

Beliau turut menempelak tindakan Umno itu seumpama ‘mengangkat dulang paku serpih, mengata negeri orang negeri dia yang lebih cacamerbanya.

Sambungnya, parti itu perlu menyemak di setiap negeri lain sebelum mengkritik Kelantan dalam semua hal sama ada masalah air, projek pembangunan yang banyak tertangguh sehingga terpaksa disuntik berulang kali untuk mendapatkan dana baru.

“Sebelum menekan Kelantan dalam masaalah air, cuba kaji dulu di negeri Pahang, Sabah dan Sarawak, bagaimana keadaan air di negeri yang diperintah Umno dan BN,”ujarnya.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini ketika mengulas perkara itu memberitahu pemimpin parti itu telah bertukar antara orang gemuk dan sembab, malah berdiam diri soal kelewatan pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua.

No comments: