Monday, November 05, 2012

PAS buat keputusan 'menjohorkan' PAS di Johor


BATU PAHAT: PAS Johor mengambil pendekatan untuk 'menjohorkan' PAS di negeri ini dengan menjadikan seluruh aktiviti dan tindak tanduk para pemimpin dan ahlinya sesuai dengan sosiobudaya orang Johor.


Pendekatan ini disepakati oleh pimpinan PAS Johor dalam konvensyennya yang diadakan di Markas PAS Parit Sulong dekat sini semalam.

[Gambar: AJK Umno Labis, Datuk Abdul Rahman Yunus (bersongkok) bersembang dengan Mazlan Aliman dan Datuk Dr Mahfodz ketika menyertai konvensyen PAS Johor semalam.]

"Ada dua pendekatan, kita men'johor'kan  PAS atau mem'pas'kan Johor. Rasanya yang tepat adalah men'johor'kan PAS iaitu dengan kita di negeri ini mengamalkan budaya orang Johor kerana sememangnya kita orang Johor.

"Dengan cara inilah, kita akan bersama masyarakat dan seterusnya memimpin mereka menuju perubahan," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika menggulung perbahasan di Konvensyen PAS Johor.

Pandangan yang beliau mula cetuskan dalam ucaptama konvensyen ini turut disokong oleh para peserta konvensyen ini ketika mereka membahaskan ucapan beliau itu.

Melalui pendekatan ini, katanya, pemimpin PAS di semua peringkat perlu meraikan dan memimpin semua aktiviti orang Johor termasuklah majlis membaca Yassin yang dipanggil Yasinan di Johor, marhaban, berzanji dan sebagainya.

"Masa saya nak kahwin dulu, saya dipaksa berzanji. Lalu terpaksalah saya belajar berzanji sampai pandai. Tetapi lepas itu lupa.

"Lepas ini kita mesti berzanji dan memimpin pasukan berzanji, masuk pasukan rewang (gotong royong kenduri) dan memimpinnya, memimpin tahlil.

"Saya rasa kita ada kelebihan ini. Misalnya, bila tahlil, pemimpin Umno takut nak dekat sebab mereka tak pandai. Jadi kita kena mengambil kesempatan ini.

"Inilah yang dinamakan men'johor'kan PAS," kata Dr Mahfodz ketika menggulung perbahasan konvensyen itu.

Semasa memberikan ucapan dasarnya di konvensyen itu, Dr Mahfodz telah membentangkannya sebagai salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh PAS di Johor untuk membolehkan PAS diterima dan seterusnya menang.

Untuk itu, katanya, PAS di Johor tidaklah perlu membawa budaya dari luar yang diamalkan oleh pemimpin dan pengikut PAS untuk mem'pas'kan Johor.

Cukup sekadar mengamalkan budaya orang-orang Johor yang sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam bahkan jelas ciri-ciri Islamnya.

PAS Johor juga, katanya, sedang mengkaji tentang kesenian yang diamalkan oleh rakyat Johor untuk turut diamalkan atau diterima oleh PAS sekiranya tidak bertentangan dengan Islam.

"Kuda kepang, ghazal dan tarian zapin...saya telah meminta Dewan Ulamak untuk mengkajinya. Mengikut kata Ketua Dewan Ulamak Johor, tidak salah asalkan tidak bercampur dengan pujaan iblis dan syaitan kepada sesetengah upacaranya," kata Dr Mahfodz.

(Kiri: Para peserta Konvensyen PAS Johor makan dalam talam sebagai salah satu budaya rakyat Johor yang cuba dihidupkan PAS dalam konvensyen ini.)

Semasa memberikan ucaptamanya, Dr Mahfodz berkata, PAS perlu memaplikasikan sepenuhnya strategi 'menjohorkan' PAS dalam membina jambatan untuk masyarakat.

"Menjohorkan PAS adalah dalam ertikata kita mengekalkan sosiobudaya Melayu di samping kita berjuang bersama PAS," katanya.

Beliau menggariskan tujuh ciri-ciri 'menjohorkan' PAS yang perlu dipertimbangkan.

Ia termasuklah meraikan budaya rakyat Johor (seperti yasinan, marhaban, rewang/kedarat dan tahlil), budaya kesenian popular rakyat (seperti ghazal, tarian zapin dan kuda kepang), budaya berpakaian (baju melayu teluk belanga, baju kurung Johor dan songkok tinggi Johor).

Selain itu, budaya makanan tradisional (asam pedas, nasi ambeng, laksa Johor, soto, ketupat dll), institusikan kerja kebajikan, budaya engagement dengan masyarakat Melayu dan meraikan budi bhasa Melayu Johor (misalnya menerang bukannya menyerang, memuji bukannya mengeji) dan lain-lain lagi.

No comments: