Wednesday, November 07, 2012

Maklumat lengkap sebelum ulas isu Nurul - TG Hadi


KUALA LUMPUR: PAS akan mendapatkan maklumat terperinci dari Nurul Izzah Anwar sebelum memberikan sebarang ulasan berkaitan dengan isu kebebasan agama.

"Kita tidak mendapat gambaran yang sebenar, saya tidak boleh membuat kenyataan. Kita tidak boleh bergantung kepada laporan media kerana ia tidak lengkap," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang (gambar).

Beliau berkata demikian ketika ditanya media dalam sidang akhbarnya semalam.

Timbalan beliau, Haji Mohamad Sabu pula berkata, "kita kena cek dahulu perkara ini kerana ianya datang dari Utusan. Utusan selalu kalah (dalam kes mahkamah)."

TG Abdul Hadi juga berkata, isu ini bukan isu utama untuk diberikan perhatian oleh PAS kerana banyak lagi isu-isu dalam menghadapi pilihan raya sekarang ini.

"Memang pada musim pilihan raya ini dicari isu-isu apa sahaja untuk dijadikan satu perkara sehingga kita tidak tumpu dalam kerja pilihan raya," katanya.

Beliau juga berkata, dalam Islam, perlukan sesuatu bukti itu 100 peratus jelas.

"Jika 99 peratus sahaja ada tetapi 1 peratus tidak jelas, kita tidak boleh hukum orang," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menafikan sama sekali laporan yang dibuat oleh Utusan itu. Beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Umno itu.

Sewaktu sesi soal jawab forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?”, salah satu soalan ditanya kepada beliau berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.

"Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

"Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad," terang Nurul Izzah.


Kenyataan umum


Dalam pada itu, kenyataan Naib Presiden PKR itu yang didakwa meremehkan soal akidah dalam Islam dianggap bersifat umum.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berdasarkan pemerhatian beliau menerusi rakaman video, kenyataan Nurul Izzah mengatakan tidak boleh memaksa mana-mana pihak dalam beragama.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu mungkin boleh memberi pelbagai reaksi.

"Beliau mengulas soalan mengenai kebebasan beragama. Di situ, mungkin berlaku salah tafsiran kerana ia tidak diterangkan dengan mendalam.

"Selepas menonton video tersebut, boleh dirungkaikan kepada dua perkara iaitu pertama dari segi beragama dan kedua penghayatan agama Islam di mana tidak ada paksaan," katanya kepada Sinar Harian.

No comments: