Sunday, November 04, 2012

PAS adakan konvensyen di tengah gelora politik Johor



BATU PAHAT: Di tengah-tengah gelora politik yang sedang melanda Johor, PAS negeri itu mengadakan konvensyennya esok, 4 November.

Ia diadakan sehari selepas semua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Senawang, Negeri Sembilan.

Dengan tema 'Pecutan Terakhir ke Nusajaya' Konvensyen ini akan diadakan di  Markaz PAS Johor, Kampung Parit Bisu, Batu Pahat.

Ia akan dirasmikan oleh Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS. Hari ini, Mohamad Sabu adalah pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Negeri Sembilan.

Konvensyen ini dijangka akan merangka pelan terakhir menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan bila-bila masa.

Johor bersama Sabah dan Sarawak adalah tiga buah negeri yang tertinggal dalam tsunami politik yang melanda negara dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Akibatnya, tidak ada perubahan politik di ketiga-tiga negeri ini ketika hampir kesemua negeri lain sudah berubah sehingga menyebabkan BN kehilangan kuasa dua pertiga undinya dalam Dewan Rakyat.

Kali ini, penganalisa politik menyatakan, tsunami kecil akan melanda ketiga-tiga negeri ini. Jika ia benar-benar berlaku, keputusan pilihan raya umum akan datang akan jauh berbeza.

"Saya ramalkan BN akan jatuh dalam pilihan raya akan datang ini," kata Datuk Yahya Lampong, pemimpin politik Sabah yang kini aktif semula (selepas lama bersara) kerana sangat teruja dengan perkembangan politik yang ada.

Dengan bertanding 28 - 30 dari 56 kerusi DUN Johor, penerimaan terhadap PAS bakal menentukan tsunami akan benar-benar berlaku di Johor atau tidak kali ini.

No comments: