Guru selayaknya seorang mujahid. Demikian yang ditunjukkan oleh
Ustazul Mukminin, Rasulullah s.a.w. ketika baginda menjalankan
dakwahnya, bermulalah jejak tugas seorang guru kepada manusia.
Tugas mudaris dan mujahid tidak selayaknya dipisahkan. Yang
menyatukan tanggungjawab antara seorang pendidik dengan seorang mujahid
ialah hadaf yang satu. Iaitu yang seharusnya dicapai adalah untuk
mengeluarkan manusia dari pengabdian kepada selain Allah dan membawa
manusia kepada hanya menyerah diri dan mengabdi total hanya kepada
Allah.
Kami mengungkap tema Guru Mujahid kerana persoalan fungsi guru
membentuk insan pelajar kini tidak diserasikan antara kerja mengajar dan
kerja menghidupkan kecintaaan pelajar kepada Islam.
Malah yang sering dapat diperhatikan ialah guru hanya dilihat sebagai
profesi yang mengejar kecemerlangan hanya pada kerangka kerjaya yang
diukur mengikut pencapaian yang digariskan oleh skima perjawatan JPA.
Lalu berlumba-lumbalah guru bekerja keras untuk menepati pencapaian
tersebut tanpa melihat garis ukur yang jauh lebih murni, jauh lebih
suci. Iaitu apakah generasi yang dididik melalui sistem pendidikan yang
ada mampu melahirkan generasi yang memenuhi ciri-ciri ibadurrahman dan
sejauh mana seorang guru turut terlibat di medan perjuangan untuk
menegak dan membela Islam.
Hari Guru yang saban tahun disambut membawa erti besar kepada para
warga pendidik. Sayang jika para guru sendiri tidak merasa ini suatu
hari yang bermakna.
Setelah gugurnya bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945,
Kaisar Jepun pernah bertanya suatu hal yang menyebabkan orang
terpinga-pinga. Sebabnya dia bertanya dalam ribuan rakyat Jepun yang
terkorban, " adakah ada lagi guru yang maseh hidup?". Demikian Kaisar
Jepun memberi kepentingan kehadiran guru untuk melihat peluang untuk
bangkit semula diatas runtuhan dan kehancuran akibat bom atom yang
digugurkan oleh tentera Ameirika Syarikat.
Sebetulnya kami telah memikirkan apakah tema yang seharusnya boleh
merangsang para guru untuk benar-benar merasa bahawa profesi seorang
guru itu adalah profesi yang membawa kesan jauh lebih bermakna dari
kerja keras untuk mencapai kecermelangan dalam peperiksaan umum bagi
tujuan menaikkan nama sekolah dan jabatan.
Kami sangat prihatin
betapa menjadi seorang guru dalam situasi kini sangat menghimpit. Kerap
yang disunguti ialah guru kini tidak menjiwai perjuangan dalam bidang
pendidikan berbanding guru masa lampau.
Tidak dapat
disangsikan para guru pada zaman kolonial adalah sebahagian besarnya
adalah kelompok yang berada di saf peneraju perjuangan kemerdekaan tanah
air. Guru membawa imej pembentuk jiwa merdeka untuk rakyat. Guru
sinonim dengan pejuang kemerdekaan. Bukan setakat mengajar disekolah
untuk mencemerlangkan penuntut dalam pencapaian peperiksaan malah guru
berada di barisan depan mempelopori perjuangan kemerdekaan.
Sungutan betapa guru lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran
(paper work') berbanding menjalankan fungsi mendidik adalah suatu yang
malang. Dalam keghairahan pihak atasan mahu mencapai KPI dan lantaran
itu guru yang berada dalam bilik darjah dibebankan untuk menyiapkan
segala tugas yang terlepas dari kerja mendidik yang sebenar pada
hakikatnya akan merugikan.
Natijahnya amat mendukacitakan. Guru
lelah mengejar masa antara menyelesaikan Rancangan Mengajar, ditambah
lagi dengan beban menyiapkan pelbagai tugas pentadbiran.
Kami
tidak hairan bagaimana sistem pendidikan masakini gagal melahirkan guru
yang berkualiti mujahid. Malah tidak terbayangpun konsep Guru Mujahid
itu sendiri dalam skima melatih guru. Bercitra sebagai Guru Mujahid
mungkin dilihat terlalu menggugat. Lantaran guru hanya sebagai karieris
sudah memadai supaya masing-masing hanya berfikir untuk menjadi
cemerlang dalam konteks kerjaya semata-mata.
Bukan sahaja beban
kerja sangat melelahkan malah sistem yang sedia ada lebih banyak
tertumpu kepada kerja di luar tugas mendidik.
Seorang guru yang bercitra mujahid bermula dari niatnya yang merentas
kepentingan duniawi. Apa yang terpendam dalam sanubari guru mujahid
adalah membentuk watak anak muridnya berpandukan susunatur ilmu yang
disampaikan.
Lebih penting dari itu ialah bagaimana ilmu yang
disampaikan itu mampu diterjemahkan dalam aplikasi seharian buat dijadi
pedoman untuk pendewasaan anak murid. Tidak kira dia seorang yang berada
atau sebaliknya. Pokoknya ilmu yang disampaikan adalah bagaikan
menyemai benih untuk kemudian tumbuh sebagai pohon yang merimbun memberi
manfaat kepada siapa sahaja yang berlindung di bawahnya.
Sebenarnya kita sangat mendambakan guru yang bersifat Dzu Wujuh, iaitu
menpunyai banyak wajah dalam arti yang baik. Ia adalah seorang guru
bangsa, pendidik ummat dan mujahid da’wah, ia adalah seorang budayawan
atau pemikir budaya, ia adalah seorang ‘alim dengan segala atribut yang
lekat dengan gelar itu, ia adalah seorang berfikiran matamg dalam
membaca politik masa depan.
Seorang guru harus memilikki
pandangan pendidikan tidak terlepas dari grand konsep yaitu dakwah.
Secara idealnya pada diri seorang guru akan menemukan konsep yang
konsisten baik yang berhubungan dengan dakwah maupun pendidikan. Dalam
ertikata lain dalam perumusan tujuan hidup seorang guru dalam konsep
da’wah sama dengan tujuan hidup dalam konsep pendidikan.
Seorang guru harus memiliki kefahaman bahawa tujuan pendidikan ada dua
macam, iaitu: a. Menjadi hamba Allah; b. mencapai kesejahteraan hidup
dunia dan akhirat.
Dengan mengacu kepada surat Adz-Dzariyat
ayat 56 yang ertinya: “Dan Aku (Allah) tidak menjadikan jin dan manusia,
melainkan untuk menyembah Aku”.
Selanjutnya dengan mengacu
kepada surat al-Fathir ayat 28, yang ertinya: “Bahwa yang
sebenar-benarnya takut kepada Allah itu, ialah hamba-Nya yang mempunyai
ilmu”,
Perhatikan catatan DR. G. J. Nieuwenhuis mengatakan,
“suatu bangsa tidak akan maju, sebelum adanya guru yang mau berkorban
untuk kemajuan bangsa tersebut”.
Kami kutip pernyataan itu
kerana nampaknya ada tanda bahawa pada saat ini minat kalangan akademik
untuk menjadi guru yang menjiwai erti pengorbanan sudah mulai menurun.
Lantaran itu sempena Hari Guru untuk tahun 2012 ini kami menghimbau
pesanan yang diharap diperhatikan setiap guru yang memilih untuk terjun
dalam medan pendidikan sebagai medan jihad.
Adalah diharapkan
tatkala sistem pendidikan yang ada sekarang maseh jauh dari memenuhi
maksud pendidikan dalam ertikata sebenar, maka ditangan gurulah amanah
membentuk generasi akan dipertaruhkan. Bermakna para guru harus siap
memainkan peranan diluar kotak sistem yang kini sangat ditentukan oleh
pasaran ekonomi.
Kami mengharapkan agar fungsi memanusiakan
pendidikan dalam erti yang dituntut Allah ke atas diri kita akan
direalisasikan oleh warga guru yang ada. Moga para guru siap menjadi
Guru Mujahid yang boleh membawa islah kepada ummah dan dunia.
Selamat Hari Guru 2012
No comments:
Post a Comment