Sunday, May 13, 2012

Selepas NST, Utusan pula minta maaf



(Xenophon [dua dari kiri] ketika bercakap dalam sidang media di Parlimen sebelum perhimpunan Bersih 3.0. Beliau adalah antara pemerhati luar yang datang ke Malaysia untuk melihat pelaksanaan demokrasi di negara ini)

KUALA LUMPUR: Selepas New Strait Times, sebuah lagi akhbar Umno, Utusan Malaysia membuat permohonan maaf kepada senator Australia, Nicholas Xenophon selepas membuat laporan melulu terhadap beliau.

Utusan dalam penyataan mohon maaf hari ini turut menarik balik laporan mereka yang menuduh Nicholas Xenophon sebagai anti-Islam.

Kedua-dua akhbar Umno itu membuat laporan melulu kepada Nicholas Xenophon selepas senator itu menyifatkan perhimpunan Bersih 3.0 aman sehinggalah dikacau oleh polis.

NST dan Utusan membuat laporan kononnya Xenaphon penyokong LGBT, ungkapan yang ditujukan kepada kumpulan lesbian, gay, biseksual dan pondan.

Berikut adalah kenyataan yang disiarkan Utusan hari ini.

Kenyataan maaf dan penarikan balik

ARTIKEL Utusan Malaysia bertarikh 30 April 2012 yang disiarkan pada 1 Mei 2012 pada muka surat 6 dan di dalam Utusan Online (‘www.utusan. com. my’) yang bertajuk ‘Senator anti-Islam pantau Bersih 3.0’. Artikel tersebut merujuk kepada Senator Nicholas Xenophon, seorang senator bebas dari Selatan Australia.

Utusan Malaysia mengesahkan terdapat kesilapan dalam menerbitkan pernyataan-pernyataan di dalam artikel tersebut. Kami menerima bahawa dalam ucapan beliau di Parlimen Australia yang dirujuk dalam artikel tersebut, Senator Xenophon tidak menggunakan perkataan ‘Islam’ dan beliau tidak juga menegaskan bahawa Islam bukanlah sebuah organisasi agama tetapi sebuah organisasi jenayah yang berselindung di sebalik kepercayaan agama.

Berdasarkan sebab-sebab di atas, Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesemua pernyataan-pernyataan terkandung di dalam artikel tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Senator Xenophon di atas kedukaan atau pengaiban yang diakibatkan kepada Senator Xenophon ekoran daripada penyiaran artikel tersebut.

No comments: