Tuesday, December 18, 2012

Ketua ulama Syria kunjungan Presiden PAS

(Sheikh Sabuni kunjungi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi di Pejabat Agung hari ini)

KUALA LUMPUR: Ketua Kesatuan Ulama Syria Sheikh Dr Ali As Sobuni mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Sheikh As Sobuni, 88, sudah 35 tahun hidup dalam buangan di luar negara akibat hukuman rejim Hafiz Asaad ke atas beliau.

Pengarang kepada puluhan kitab tafsir dan hadis ini menjadi rujukan kepada ilmuan-ilmuan Islam seluruh dunia sejak puluhan tahun yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Sheikh As Sobuni turut berkongsi pandangan terhadap konflik di Syria yang telah pun membunuh ribuan rakyat negara itu.

Mereka bersama-sama bersetuju Presiden Basyar Asaad mesti berundur dan bertanggungjawab terhadap apa yang melanda Syria hari ini.

Dalam masa yang sama mereka sependapat bahawa perlu kebijaksanaan dalam isu Syria khususnya dalam mendepani campur tangan kuasa-kuasa luar yang berkepentingan.

Sheikh As Sobuni juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih rakyat Syria kepada PAS yang mengambil berat dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa kekejaman.

Sehingga hari ini PAS sudah menghantar lebih dari lima kali bantuan dan rombongan kemanusiaan ke Syria, bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas ekoran konflik ini.

Sheikh As Sobuni sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia dan Indonesia.

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan penolongnya Dr Syed Azman Syed Nawawi serta Setiausaha Akhbar Presiden PAS Mohd Nasaie Ismail.

No comments: