Sunday, December 16, 2012

PRU13: PAS Pulau Pinang yakin tambah kerusi


NIBONG TEBAL: PAS Pulau Pinang terus mengulangi tekad untuk menambah bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Pesuruhjayanya, Datuk Saleh Man berkata, buat masa ini PAS hanya mempunyai satu kerusi sahaja iaitu Permatang Pasir.

Beliau yang juga Adun kawasan berkenaan melahirkan keyakinan PAS mampu menambah kerusi berdasarkan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat negeri ini, bukan sahaja PAS dapat menambah kerusi bahkan kerajaan negeri dapat dipertahankan.

“Kita lihat semangat rakyat dalam program seperti ini, tak dapat tidak kita dapat sokongan rakyat dan keyakinan rakyat untuk kita tumbangkan BN dalam pilihan raya umum nanti,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pulau Pinang di Padang Awam Jawi, malam ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri berharap rakyat terus berdoa supaya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang terus mendapat mandat dalam pilihan raya umum nanti untuk memajukan negeri ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berucap selepas itu menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar ‘I help you, you help me’.

Katanya, kerajaan yang bertindak sedemikian ialah kerajaan samseng.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus melaksanakan dasar untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sama ada mereka menyokong atau sebaliknya.

Justeru, jelasnya dasar kerajaan Pakatan Rakyat berbeza dengan BN dalam melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk kesejahteraan rakyat.

No comments: