Thursday, October 04, 2012

Royalti Minyak: Pemuda PAS rakam syukur


KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan  (DPPNK) merakamkan setinggi-tinggi syukur dan tahniah kepada seluruh rakyat Kelantan atas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang benarkan Kelantan membuat rayuan kes royalti.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, DPPNK berpandangan keputusan mahkamah ini sekalipun bukannya merupakan kemenangan mutlak kerajaan negeri Kelantan namun ia tetap membuka harapan baru kepada kerajaan negeri untuk terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan yang telah jelas termaktub di dalam perjanjian.

Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan rayuan terhadap tiga tuntutan yang ditolak Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Tuntutan itu adalah memohon agar mahkamah menolak permohonan Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah serta memohon mahkamah menolak permohonan Petronas membatalkan saman kerajaan negeri.

Satu lagi tuntutan adalah memohon penzahiran dokumen keputusan penyelesaian kes saman Kerajaan Terengganu terhadap Petronas sebelum ini.

"Tahniah kepada rakyat Kelantan dan semua pihak yang telah terlibat di dalam Konvoi Mega Tuntut Royalti pada 2 Oktober 2012 khususnya selepas keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang membenarkan kerajaan Kelantan menyaman Petronas di atas kegagalan menepati perjanjian yang dimeterai pada 1975," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Pemuda PAS, katanya mengulangi ikrar untuk terus bersama-sama kerajaan negeri di dalam perjuangan menuntut hak royalti minyak yang telah dinafikan semenjak sekian lama.

"Dalam hal ini, semua pihak perlu sedar bahawa isu ini bukannya isu politik bahkan gerakan menuntut royalti minyak ini bukan hak milik mana-mana parti politik. Ia merupakan hak rakyat Kelantan keseluruhannya," katanya.

Justeru semua pihak perlu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi di dalam menyuarakan tuntutan terhadap hak royalti minyak ini.

"Sekali lagi tahniah kepada seluruh rakyat Kelantan. Semoga satu hari nanti cita-cita untuk melihat rakyat Kelantan menikmati hasil buminya sendiri akan menjadi realiti Insya Allah," katanya.
Iklan Teks

No comments: