Thursday, October 04, 2012

Ribuan hadir ceramah tuntut royalti

 
SHAH ALAM:
Hampir 10 ribu orang hadir pada program ceramah mega tuntut royalti yang di adakan di Dataran Kemerdekaan di sisni malam tadi.

Ceramah tersebut diadakan sempena dengan perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pagi ini.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap malam tadi melahirkan rasa kesal terhadap kerajaan pusat yang menafikan hak royalti negeri itu.

(Gambar: Antara ribuan hadirin yang hadir pada ceramah tuntut royalti malam tadi)

"Saya yakin 100 peratus mereka tidak mahu melihat kejayaan PAS bila memerintah negeri.

"Umno telah menarik balik bayaran royalti (semasa PAS memerintah Terengganu) serta tidak pernah diberi royalti langsung (kepada Kelantan)," jelasnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata apa yang dituntut oleh Kelantan adalah hak mereka yang sebenarnya.

"Saya sebagai seorang nelayan telah mengunjungi pelantar minyak tersebut dan jika benar ia berada di luar perairan Kelantan sudah pasti saya telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana mencerobohi pengairan antarabangsa.

"Namun segalanya tidak berlaku sebaliknya saya diberi layanan oleh pekerja-pekerja di pelantar tersebut," jelasnya yang pernah sampai ke pelantar itu.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, Pakatan Rakyat seperti dibentang dalam belanjawan mereka, telah memutuskan apabila menguasai Putrajaya, pembayaran tunai royalti sebanyak 20 peratus bagi empat buah negeri akan dilaksanakan serta merta.

"Selain itu juga kita telah bersetuju untuk menyerahkan sebahagian daripada lapangan kecil kepada kerajaan negeri untuk mereka menubuhkan sendiri syarikat minyak dan gas.

"Kita mahu syarikat kerajaan negeri terlibat bersama dalam perusahaan tersebut dan kerajaan pusat di bawah Petronas akan menjamin sebahagian daripada projek tersebut yang dijalankan sendiri oleh kerajaan negeri," ucapnya.

Terdahulu, sebanyak 500 buah kenderaan konvoi royalti 'R' telah bertolak dari Kota Bharu semalam sebagai tanda memberi sokongan terhadap tuntutan royalti.

(Gambar: Presiden PAS mengepalai bacaan doa selepas solat hajat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi)

Turut hadir pada ceramah mega itu ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Othman, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti & Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

DAP pula diwakili oleh Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw dan juga pimpinan Pakatan Rakyat bagi Negeri Sabah dan Sarawak serta wakil dari exco Kerajaan Negeri Selangor.

Program ceramah itu turut dimulai dengan solat hajat yang diimamkan oleh Presiden PAS sendiri.

Selain itu juga, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) atau 'R' bagi peringkat nasional yang melibatkan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak dilancarkan pada majlis itu.

No comments: