Sunday, September 30, 2012

Bajet 2013 bajet politik semata-mata

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu sebagai bajet politik semata-mata.

Beliau berkata, pelbagai insentif diberikan dalam bentuk 'one off' kepada sasaran tertentu memperlihat tindakan kerajaan mahu menawan hati rakyat menjelang pilihan raya umum nanti.

Misalnya, kata beliau kerajaan hanya memberi penekanan soal teknikal sahaja tanpa menghiraukan bagaimana pelaksanaan dan pengagihan supaya sampai kepada sasaran.

"Duit yang diberi kepada petani dan nelayan akhirnya berlaku penyelewengan, sepatutnya bagi baja dengan harga murah. Bagi duit kemudian habis begitu sahaja. Bertani tidak selesai, pertanian entah kemana.

"Bagi subsidi minyak pula akhirnya dimonopoli oleh nelayan-nelayan laut dalam,"katanya yang ditemui Harakahdaily semalam.

Katanya, pengagihan yang tidak telus ini menyebabkan kekayaan hanya berlegar di kalangan kroni akhirnya sasaran yang sepatutnya tidak dapat insentif yang dijanjikan.

"Ini perubahan yang perlu dibuat rakyat dan mereka kena sedar berlaku ketirisn dan penyelewengan.

"Janji ditepati bina stadium akhirnya stadium runtuh, janji ditepati buat jalan tapi tak siap, kena tambah peruntukan sebab tidak ada kepentingan untuk kerajaan," katanya.

Selain itu, konsep belanjawan dalam Islam menurut beliau antara lain bukan sahaja memastikan sumber pendapatan negara itu dari sumber yang halal malah memastikan ianya diperolehi bukan dengan cara zalim.

"Sumber mesti halal ataupun tidak diambil secara zalim.

"Rompak duit royalti itu zalim," katanya.

Tambahnya, kekayaan yang ada di dalam negara boleh dipusing melalui sistem percukaian yang ada dalam Islam antaranya sistem zakat.

Jelas Abdul Hadi, zakat ialah petunjuk konsep percukaian iaitu diambil daripada mereka yang berada dan dipulangkan kepada mereka yang memerlukan, manakala cukai pula dikenakan kepada orang bukan Islam.

"Zakat pun boleh ganti cukai. Zakat adalah wajib dan tidak boleh dihapuskan berbeza dengan cukai.

"Walaupun negara mempunyai bertimbun kekayaan tetapi zakat wajib juga dikeluarkan, tetapi cukai boleh dihapuskan" katanya.

No comments: