(Mohammad Nizar menerima memo yang diserahkan pihak Royalti. Foto: SK)
KUALA LUMPUR: Peserta Konvoi Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak Dan Gas Ke Kelantan (Royalti) yang bermula 2 Oktober lalu, meneruskan lagi perjuangan mereka dengan menyerahkan memorandum bagi menuntut penyelesaian segera Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar royalti kepada Kerajaan Kelantan.
Mereka menyerahkan memorandum itu kepada wakil PAS iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin di luar bangunan parlimen.
Pengerusi Royalti Nazri Deraman berkata, Najib perlu memastikan pembayaran wang royalti secara tunai oleh Petronas kepada kerajaan negeri seperti mana Akta Pembangunan Petroleum 1974.
"Terkini bayaran royalti yang perlu dibayar sudah mencecah RM10.4 billion, dan ia perlu dibayar dengan kadar segera," katanya.
Jelasnya, isu pengeluaran petroleum sebagai hasil bumi negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui batasan kepentingan politik yang sempit.
Royalti juga turut mencadangkan Najib Razak dan Petronas agar membina hab pengumpulan, pemprosesan dan pengangkutan gas serta pembinaan paip sepanjang 300 km diwujudkan di Kelantan.
Ini kerana jarak Blok PM301 yang berada di perairan Kelantan adalah lebih dekat berbanding ke Kerteh iaitu ke Pantai Senok Bachok hanya 140 kilometer sahaja berbanding 300 km.
Memorandum itu turut mengemukakan sembilan justifikasi berkaitan tuntutan royalti antaranya Petronas melanggar perjanjian 9 Mei 1975, penafian hak royalti menafikan amanat Tun Razak, gas dan minyak Kelantan untuk tujuh generasi Kelantan, dan ordinan darurat dan tiga batu nautika sudah dimansuhkan.
No comments:
Post a Comment