Thursday, October 04, 2012

Najib: Menteri Wanita tidak tahu kemajuan wanita

KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Rakyat menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak mengetahui langsung dengan pencapaian dan kemajuan wanita di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Perkara tersebut merujuk kepada ucapan Najib sempena Hari Wanita Kebangsaan 2012 semalam yang mengatakan bahawa gerakan wanita adalah tidak perlu kerana wanita telah diberikan hak mereka sejak kemerdekaan lagi.

Berkata pada sidang media di parlimen, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan Najib gagal mendapat nasihat yang tepat dari kepimpinan Wanita Umno-Barisan Nasional.

Malah menurut beliau lagi, Najib juga gagal membezakan hak mengundi dengan penglibatan wanita diperingkat nasional.

"Kita berada ditahap pemberdayaan wanita dan mengarus perdanakan peranan wanita.

"Proses pemberdayaan ini amat lemah apabila laporan dalam The Global Gender Index Gap 2011 menyatakan Malaysia berada pada kedudukan 97 dari 135 negara dalam empat aspek penilaian iaitu penglibatan dan peluang ekonomi, pencapaian pembelajaran, kelangsungan kesihatan dan hidup dan pemberdayaan politik," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan dengan Najib memegang jawatan Menteri Wanita sudah pasti kedudukan pemberdayaan politik wanita dalam Gender Global Index akan menjunam jauh dari kedudukan 115 pada masa sekarang.

"Ini satu penghinaan kepada wanita Malaysia, seolah-oplah wanita Malaysia menghala ke jalan buntu.

"Sebaliknya Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang ditawarkan Wanita Pakatan Rakyat fokus kepada tujuh tuju tumpu yang mana empat tumpu di atas diterapkan sebagai kayu pengukur dalam pemberdayaan wanita Malaysia," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Wanita Pakatan Rakyat menyatakan dengan tindakan Najib melantikkan dirinya sebagai Menteri Wanita telah mengaibkan seluruh wanita Malaysia.

Selain itu juga, Wanita Pakatan Rakyat juga berpendirian bahawa lantikan Najib sebagai menteri adalah satu kesilapan besar yang terpaksa ditanggung wanita Malaysia.

Wanita Pakatan Rakyat juga turut menegaskan bahawa Agenda Wanita Malaysia yang menawarkan polisi yang mesra gender akan mengangkat martabat dan membela wanita dan bukannya meremeh temehkan peranan wanita di Malaysia.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ketua Wanita DAP, Chong Eng, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

No comments: