Thursday, September 27, 2012

Belanjawan PR: Penetapan gaji minimum tepat


KUALA LUMPUR: Senator Syed Shahir Syed Mohamud (gambar) berpendapat Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang telah dibentangkan semalam dapat menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dalam negara ini.

Beliau yang ditemui Harakahdaily memberitahu peningkatan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan kemiskinan tegar iaitu RM550 adalah satu cadangan yang sangat baik dalam menyeleseikan masalah tersebut.

"Kita melihat melalui cadangan peningkatan bantuan isu rumah yang diberikan itu dapat mengatasi miskin tegar negara.

"Kebanyakan mereka terdiri dari golongan pekerja, golongan berpendapatan rendah dan kemiskinan sekarang tidak boleh dianggap kemiskinan luar bandar sahaja sebenarnya di dalam bandar pun berlaku kemiskinan," kata bekas Presiden MTUC itu.

Beliau juga turut memberitahu penetapan gaji minimum pada tahap RM1,100 adalah bertepatan memandangkan kerajaan sebelum ini hanya mencadangkan RM900 sahaja.

Dalam pada masa yang sama, beliau mengharapkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini dapat menyelesaikan masalah terutama kumpulan sasar yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah.

Belanjawan Pakatan Rakyat akan membelanjakan RM2 bilion bagi pelaksanaan gaji minimum pada paras RM1,100 sebulan yang melibatkan sektor awam dan swasta dengan penyelarasan gaji dijangkakan dalam 2 hingga 8 peratus.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut meningkatkan pembayaran kebajikan daripada RM300 pada masa sekarang kepada RM550 sebulan dan ini dapat membebaskan 84,000 keluarga dari paras kemiskinan sekarang iaitu bawah RM500 sebulan.

No comments: