Wednesday, September 26, 2012

Tarikh PRU13: Buat terus jangan sekadar cakap

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kecewa dengan sikap kerajaan yang masih meletakkan 'penetapan tarikh pilihan raya' hanya sebagai cadangan.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya DPPM, Mohd Sany Hamzan berkata, kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam juga masih bersifat awang-awangan sedangkan kerajaan BN mempunyai kuasa memutuskan perkara itu.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam supaya pilihan raya umum diadakan hanya selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun.

Bagaimanapun kenyataan itu menurut Nazri hanya bersifat cadangan dan belum tentu akan dilaksanakan.

"Suatu fenomena yang cukup mengejutkan dan mengaibkan. Dengan kuasa yang ada di tangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional sekarang ini, maka kenapa masih bertangguh lagi untuk melaksanakannya," kata Mohd Sany.

Menurutnya, isu penetapan tarikh pilihan raya sehingga kini menjadi ‘talian hayat’ untuk Umno dan Barisan Nasional melaksanakan eksperimen sokongan rakyat kepada mereka.

Lebih-lebih lagi katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab Perdana Menteri baru-baru ini yang cukup seronok melihat orang ramai berspekulasi tentang tarikh pilihanraya adalah cukup biadap dan amat memalukan.

Baginya, Umno dan Barisan Nasional telah berjaya melahirkan insan-insan pemimpin yang berjiwa pengecut dan penakut, yang hanya mengangguk bersetuju dengan arahan ‘bos’ mereka walaupun perkara yang dipersetujui itu berlawanan dengan hasrat dan keperluan rakyat.

"Sebenarnya (mereka) tidak ubah seperti ular yang bercabang lidahnya.

"Pepatah orang dahulu kata “ di mana ada kemahuan di situ ada jalannya”, perlu dijadikan misi utama pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk merealisasikan hasrat melakukan perubahan dan pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di negara ini," katanya.

No comments: