Monday, September 24, 2012

Kedah selesai bahagi kerusi, PAS yakin kekal


ALOR SETAR:"Insya-Allah, saya yakin PAS akan memerintah," kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak (gambar) ketika ditanya wartawan berhubung penilaian politik di negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Beliau juga menjelaskan bahawa tidak ada sebarang masalah dalam pembahagian kerusi di Kedah dan PAS negeri ini telah selesai serta menghantar lebih awal senarai calon kepada PAS Pusat.

Namun begitu, Ustaz Azizan menyerahkan sepenuhnya kepada PAS Pusat untuk memuktamadkan calon PAS Kedah yang layak bertanding.

"Tidak sesuai saya ulas berkaitan calon PAS Kedah, yang paling layak ialah pemimpin PAS Pusat," katanya ringkas ketika dihubungi semalam.

"Saya lebih suka berdiam diri sehingga keputusan rasmi dikeluarkan oleh PAS Pusat.

"Saya tidak mahu dilabel 'campur tangan' dalam isu Pusat. Biarlah Majlis Syura selesaikan. Lebih elok saya tumpu pada urusan pentadbiran negeri," katanya.

Ditanya sama ada 'pemain import' akan bertanding di negeri ini, Ustaz Azizan secara berseloroh menjawab, bahawa pihak media begitu pandai untuk mengusik, mencungkil dan 'melaga-lagakan' beliau.

"Secara asasnya yang menang, kita kekalkan dan lazimnya keutamaan kita beri kepada anak tempatan walaupun kita tidak terhadkan kepada yang lain.

"Namun kadang-kadang minit akhir, ada nama yang disenaraikan terpaksa diketepikan disebabkan pelbagai faktor, ada yang tarik diri sebab, ada yang tidak mampu dah dan macam-macam faktor.

"Itu semua terserah PAS pusat sebab yang kita mahu ialah kemenangan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk PRU-13 akan datang, jawapan yang sama tetap diberikan kepada media bahawa keputusan itu terletak di tangan PAS Pusat.

"Saya sudah pertahankan kerusi di kawasan saya (DUN Sala dan DUN Sg Limau) sejak 1995  sehingga kini, bertanding atau tidak terserahlah kepada PAS Pusat," katanya.

Turut ditanya sama ada perbezaan pendapat yang berlaku dalam PAS boleh menjejaskan kemenangan dalam PRU-13 akan datang, beliau memberitahu bahawa PAS sentiasa terbuka dalam hal tersebut tetapi bersatu apabila berdepan dengan lawan yang satu.

"Politik ini memang sukar tetapi sampai masanya kita akan bersatu. Memang ada perbezaan tetapi kita beza bukan mengenai masalah pokok.

"Parti lain lagi teruk, beza pendapat sampai tukar orang macam MCA dan Gerakan.

"Apa yang boleh kita buat ialah tingkatkan prestasi. Saya tidak terlibat rasuah, semua orang suka...kita buat yang terbaik dan yang akan nilai rakyat sendiri," katanya yang mempengerusikan mesyuarat tersebut selama empat jam.

No comments: