PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara
menolak rayuan Exco Kerajaan Negeri Perak dan juga ADUN Sungai Rapat,
Perak, Hamidah Osman dengan kos bagi mengenepikan keputusan Hakim
Mahkamah Tinggi Shah Alam yang diberikan pada 1 Jun yang lalu.
Dalam
keputusannya hari ini Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh Hakim Datuk
Ramly Haji Ali, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Anantham Kasinather
memutuskan bahawa mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi
bahawa Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah yang mempunyai
bidangkuasa bagi mendengar kes tort.
Pada 1 Jun yang lalu Hakim
Datuk Haji Zainal Azman telah menolak permohonan Hamidah bagi
membatalkan saman Khalid Samad ke atas beliau atas tulisan yang
mengandungi tuduhan fitnah ke atas Khalid Samad di blog Hamidah
http://hamidahosman.blogspot.com pada atau sekitar Januari 2010.
Antara lain di dalam blognya, Hamidah menyiarkan gambar super imposed Khalid Samad sebagaimana sebelah.
Dan
beliau juga menulis antara lain “Golongan yang menyokong pengunaan ini
terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen
Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian
mengantikan perkataan ‘God’ kepada didalam Bible kepada perkataan Allah.
Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya dengan
keputusan mahkamah ini.”
Beliau juga menulis “Sekalung tahniah
buat parti PAS kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu
penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir
untuk menjahanamkan iman umat Islam di negara ini."
Atas tulisan
beliau di blog tersebut Khalid telah melalui peguamnya, Tetuan Mohamed
Hanipa & Associates memfailkan writ saman ke atas Hamidah di
Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kausa tindakan fitnah.
Pada
pendengaran rayuan hari ini Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti
Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala
Hamidah diwakili oleh Datuk Hafarrizam Haron dari Tetuan Hafarizam Wan
& Aishah Mubarak.
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 dan 21 November 2012.
No comments:
Post a Comment