Sunday, November 25, 2012

Awang Adek diminta lapor Jabatan Agama dan SPRM


KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mencadangkan Datuk Awang Adek Husein (gambar)  agar melaporkan kepada  Jabatan Agama dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar membukti bukti penyelewengan.

Jika tidak, kenyataan Awang Adek baru-baru ini mahu membawa kes konon PAS ada masalah akidah ke Perhimpunan Agung Umno hanya retorik semata-mata.

Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ahmad Fadli Shaari kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemuda PAS Negeri Kelantan tertarik untuk memberikan respon terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin bahawa UMNO Kelantan akan mendedahkan penyelewengan akidah PAS pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 nanti.

Kenyataan beliau disiarkan oleh akhbar Sinar Harian versi dalam talian pada 24 November 2012.

Dalam hal ini, kata Fadli, suka untuk DPPNK mencadangkan kepada Awang Adek agar melaporkan sahaja apa yang didakwa penyelewengan akidah tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk diambil tindakan sekiranya tidak yakin dengan siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) yang merupakan agensi kerajaan negeri Kelantan.

"Dalam hal ini, DPPNK tidak mahu Awang Adek hanya sekadar beretorik semata-mata," kata Ahmad Fadli (gambar kanan) yang juga Setiausaha Akhbar MB Kelantan.

Ini kerana masyarakat umum masih lagi melihat PAS sebagai sebuah parti yang serius melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan Islam berbanding Awang Adek sendiri yang pernah mencadangkan agar judi bola sepak dibenarkan sempena Piala Dunia 2010 yang lepas, kata Fadli.

DPPNK juga mencadangkan kepada Awang Adek supaya terus melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya penyelewengan yang dimaksudkan melibatkan skandal rasuah dan pecah amanah.

"Dalam hal ini, Awang Adek boleh merujuk lokasi bangunan baru SPRM Kota Bharu kepada sebuah badan bukan kerajaan OMBAK yang pernah menganjurkan demonstrasi di hadapan bangunan tersebut beberapa minggu lepas.

"Kemungkinan juga Awang Adek boleh memasukkan sekali di dalam laporan tersebut isu seorang Timbalan Menteri yang didakwa menerima suapan sebanyak RM80,000 semasa memegang jawatan penting di Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu.

"Suapan tersebut ialah dalam bentuk dua keeping cek bernilai RM30,000 dan RM50,000 daripada Advance Maintenance Precision Management (AMPM) Sdn Bhd bertarikh 6 Disember 2010," katanya.

Pada hari yang sama, kata beliau, AMPM menulis surat kepada individu terbabit selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) untuk melanjutkan kontrak penyelenggaraan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu.

"Sehingga hari ini, tiada sebarang penjelasan diberikan oleh Timbalan Menteri tersebut.

"Sekiranya Awang Adek hanya berdegar-degar menjanjikan pendedahan di Perhimpunan Agung UMNO 2012 tetapi dalam masa yang sama enggan membuat laporan kepada badan berwajib, DPPNK sifatkan Awang Adek hanya beretorik semata-mata," katanya.

No comments: