Saturday, December 01, 2012

Harap bertemu lagi sesi parlimen akan datang


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan ketegangan semasa perbahasan di Parlimen adalah satu tanggungjawab anggotanya terhadap rakyat dalam menyampaikan isu-isu kepentingan negara.

Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyatakan demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Dewan Rakyat petang semalam.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula 29 September berakhir semalam.

Beliau yang mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan turut meminta maaf jika sepanjang perbahasan itu ada perkara yang menyinggung pihak kerajaan dan juga ahli-ahli parlimen yang lain.

"Seperti yang disebut karenah kekecohan di dalam dewan ini memang sudah dijangkakan, dan bukan suatu yang unik bagi dewan ini sahaja tetapi turut berlaku di negara-negara lain.

"Tindakan seperti ini adalah atas rasa tanggungjawab dan minat untuk mengambil bahagian serta menyampaikan isi hati rakyat yang dipertanggungjawabkan ke atas kita semua," ucapnya.

Dalam masa yang sama beliau juga turut mengagumi peranan dan tugas yang dilaksanakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan juga timbalannya dalam memimpin persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ke 12.

Menurutnya lagi, atas kepimpinan Pandikar dan juga timbalan-timbalannya serta pertugas parlimen yang lain menyebabkan proses persidangan berlangsung dengan baik dan lancar.

"Apa yang berlaku sepanjang tempoh persidangan sejak 2008 sehingga sekarang, kita mengharapkan ia menjadi pengajaran dan pengalaman yang baik, ini adalah bagi memastikan proses demokrasi negara terus matang dan makmur," sambung beliau.

Dr Mohd Hatta mengakhiri ucapan dengan mengharapkan akan dapat bertemu di sesi yang akan datang kepada mereka yang masih dapat meneruskan kepimpinan selepas pilihan raya nanti.

"Biarlah perpisahan dan pergalaman selama ini diberkati oleh Allah," kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Sebelum itu, Pandikar pada ucapan penggulungan menyatakan beliau tidak ada kuasa untuk memanggil persidangan pada tahun hadapan, dalam pada masa yang sama beliau menjelaskan tidak akan ada persidangan sehingga Mac 2013.

No comments: