KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS tidak menolak kemungkinan harga petrol RON95 turut dinaikkan memandangkan perbezaan di antara harga RON97 dan RON95 sebanyak RM1.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenaikan harga petrol RON97 tengah malam tadi berkata.
Mengenai kenaikan RON97 itu, beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ia sangat tidak berpatutan dan membebankan rakyat.
"Kenaikan harga petrol ini satu kenaikan yang sangat tidak berpatutan kerana perbezaan antara RON97 dan RON95 hampir satu ringgit.
"Tidak akan ada jaminan RON95 tidak akan dinaikkan. Ini satu petanda yang sangat sukar diterima oleh rakyat dan membebankan mereka," katanya.
Harga petrol RON97, yang kadarnya diapungkan sejak tahun lalu, mengalami kenaikan lagi RM20 sen menjadi RM2.90 seliter mulai tengah malam tadi.
Ini merupakan kenaikan kali kedua sepanjang April hingga Mei tahun ini.
Harga petrol RON97 juga mengalami kenaikan 20 sen seliter pada 2 April lalu dan dijual RM2.70 seliter sejak itu.
Kenaikan kali ini adalah peningkatan keempat tahun ini. Ia mengalami kenaikan 10 sen seliter berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari lalu.
Menurut laporan media, kenaikan RON97 itu tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 yang kekal RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter.
Dianggarkan 90 peratus daripada rakyat negara ini menggunakan petrol RON95 untuk kenderaan mereka.
No comments:
Post a Comment