Sunday, September 02, 2012

Pemuda PAS S'wak gesa TV3 mohon maaf

BINTULU: Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa pihak TV3 memohon maaf ekoran kenyataan seorang pengacaranya melabelkan Bintulu sebagai kawasan dhaif.

Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo berkata, kenyataan spontan pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain semasa lintas langsung stesen itu kelmarin "benar-benar mengguris hati rakyat Sarawak".

"Kenyataan spontan mengenai kedhaifan Bintulu ini menunjukkan ketidakpedulian pengacara TV3 tersebut, yang juga merupakan seorang wartawan. Jika kualiti kewartawanan di TV3 adalah sebegini rendah, tidak hairanlah berita-berita di TV3 setaraf berita kedai kopi, penuh fitnah dan tangkap muat.

"Tidak hairanlah, saban hari berita di TV3 dipenuhi cerita dongeng, tuduhan dan fitnah terutama kepada parti Pakatan Rakyat. Rakyat hendaklah sedar hakikat TV3 bukanlah suatu saluran televisyen yang boleh dipercayai," luahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifiriazul yang juga Ketua Penerangan PAS Miri, Bintulu merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak dan menjadi hub industri LNG di Sarawak dan merupakan antara penyumbang utama pendapatan negara.

Beliau juga berkata, isu ini juga timbul kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri Sarawak, hingga dilabel dhaif.

Masyarakat umum katanya masih menganggap Sarawak sebagai negeri miskin dan dhaif, kecuali di kawasan bandar seperti Kuching.

"Ini merupakan satu persepsi umum yang ada benarnya. Dengan hasil minyak mencecah 100000 tong sehari, ditambah pula hasil gas dan pembalakan, negeri Sarawak merupakan negeri paling kaya hasil bumi.

"Namun hakikat yang perlu diterima oleh rakyat ialah negeri bertuah ini masih mundur dan terbelakang berbanding negeri-negeri lain," katanya.

Semalam, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga dilapor mahu Nurul Syuhada meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya itu bagi meredakan kemarahan penduduk.

Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga beranggapan Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.

"Kami menggesa pihak TV3 memohon maaf atas ucapan semberono pengacara mereka mengenai Bintulu.

"Kami menasihatkan pihak TV3 mewajibkan kerja rumah kepada semua wartawan mereka sebelum menerbitkan sesuatu berita. Biarlah intergriti wartawan lain tidak terjejas dengan kesilapan pengacara ini," kata Arifiriazul.

No comments: